TAMBUNAN, 13 JUN - Bapa dan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan maut apabila motosikal mereka dilapor merempuh lori kargo di Ulu Da'ar dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu, Simon Sadi, 29, anaknya Aron, 6, Selvy, 4, dan seorang anak lelaki berumur dua tahun maut di tempat kejadian.

Isteri Simon, Suzana Damiaus, 29, pula cedera parah di seluruh bahagian anggota badan dan dihantar ke Hospital Tambunan sebelum digegaskan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata motosikal yang ditunggang lima beranak itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang lori terbabit yang sedang diparkir di tepi jalan.

"Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menziarahi keluarga mereka yang meninggal dunia di Kampung Sungai Tambunan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati mereka tidak memakai topi keledar dan dipercayai menunggang dalam keadaan laju. - BERNAMA