BAGAN DATUK, 13 JUN - Edisi keempat Kembara Sahur Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tahun ini terus memberi suntikan baharu dalam menjalinkan hubungan erat antara agensi kerajaan itu dengan nelayan serta meningkatkan semangat silaturahim semasa umat Islam.

Bermula pukul 3 pagi tadi, sebanyak 10 kenderaan membabitkan 20 pegawai dan kakitangan LKIM berkonvoi menuju ke lima rumah nelayan yang terpilih di Kampung Tersusun Hutan Melintang bagi mengagihkan juadah sahur selain barang keperluan dapur dan sedikit sumbangan wang tunai.

Ketua Pengarah LKIM, M. Saedon Ab Majid berkata kehadiran pihaknya mengejutkan keluarga nelayan pantai terpilih yang sedang lena dibuai mimpi di rumah masing-masing sangat mengujakan mereka.

"Mereka tidak tahu menahu akan program yang kita lakukan dan Alhamdulillah kedatangan kita disambut mesra dan dapatlah kita jumpa mereka kerana hari ini tidak turun ke laut," katanya kepada pemberita selepas Kembara Sahur LKIM di kampung berkenaan awal pagi ini.

Turut bersama Ketua Kampung Kampung Tersusun Hutan Melintang, Zainal Abidin Ibrahim.

Saedon berkata LKIM akan sentiasa memperjuangkan nasib nelayan bagi memastikan kebajikan mereka terjaga dan sumbangan yang diberikan meringankan beban mereka untuk menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata pendekatan LKIM memilih cara untuk pergi dari rumah ke rumah lebih mesra berbanding mengadakan majilis di satu tempat.

"Pada masa sama ia dapat memeriahkan semangat Ramadan, sekali gus merangsang umat Islam lebih hebat beribadah sempena bulan penuh keberkatan ini, " katanya.

Kembara Sahur LKIM di Bagan Datuk bagi zon utara tahun ini merupakan kembara ketiga daripada empat keseluruhan di mana pelancarannya bermula di Kampung Jeram, Kuala Selangor pada 8 Jun.

Ini diikuti Port Dickson yang dipilih bagi kembara ke zon selatan pada keesokkan harinya (9 Jun), kemudiannya Bagan Datuk sebelum berakhir di Bachok, Kelantan (zon timur) pada 19 Jun ini. - BERNAMA