KUALA NERUS, 7 JUN - Bakal haji yang akan menunaikan ibadah Haji tahun ini tidak perlu panik dan bimbang dengan keputusan Arab Saudi yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar baru-baru ini.

Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, TH mempunyai pengalaman luas untuk berdepan dengan masalah tersebut dan yakin mampu melaksanakan tanggungjawab menguruskan jemaah dengan baik.

"Kita dah ada pengalaman luas dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut dan yang penting semua jemaah mengikut segala arahan dan peraturan yang dikeluarkan TH.

"Kita ada semua jentera serta petugas haji untuk gerak kerja yang hendak dilaksanakan. Sekiranya jemaah haji ikut saja arahan TH, insya-Allah semuanya akan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Ziarah Kasih Ramadan Yayasan Tabung Haji Parlimen Kuala Nerus yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Hotel Tabung Haji di sini, semalam.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata sebanyak RM15 juta akan diagihkan kepada 16 daripada 50 parlimen disasarkan menerusi program ziarah tersebut hasil zakat daripada Yayasan TH dengan kerjasama Umno serta badan korporat.

Katanya, daripada jumlah (RM15 juta) tersebut, RM7 juta adalah daripada Yayasan TH manakala masing-masing RM4 juta daripada Biro Keahlian Daftar Pemilih Umno dan rakan-rakan korporat untuk diagihkan.

Beliau yang merupakan Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, kebiasaannya Yayasan TH mengagihkan sendiri wang zakat berkenaan tetapi terhad kepada 14 parlimen melibatkan 14 negeri di Malaysia.

Bagaimanapun, berikutan pengalaman dan gerak kerja yang dijalankan TH, ia mendapat kepercayaan Umno dan rakan korporat untuk mengagihkan bantuan zakat berkenaan yang mampu memberi manfaat kepada lebih 105,000 warga miskin daripada 50 parlimen di seluruh negara.

"Kita menerima permintaan daripada 63 parlimen di seluruh negara. Kalau kita mampu mengagihkan kepada kesemua parlimen itu, ia akan melibatkan penerima wang zakat yang lebih ramai. Tetapi memandangkan Ramadan sudah berjalan hampir separuh, mungkin ia tidak sempat untuk dilaksanakan," katanya.

Abdul Azeez berkata, bagi Terengganu sahaja, seramai 3,000 penerima terlibat menerima RM300 seorang untuk tiga parlimen bermula di parlimen Dungun, Marang dan Kuala Nerus, melibatkan keseluruhan agihan berjumlah RM900,000. - BERNAMA