KOTA BHARU, 5 JUN - Kerajaan negeri Kelantan hari ini melahirkan persetujuan untuk bersama-sama kerajaan Persekutuan dalam menangani masalah dadah terutama membabitkan pil kuda di negeri ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata hasil perbincangan yang diadakan bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sini, merumuskan tiga perkara utama yang diyakini boleh membantu mengurangkan masalah berkaitan dadah di negeri ini.

"Kita akan guna pendekatan Inabah (agama) di mana kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyediakan sebuah pusat pemulihan (bagi penagih dadah) dan ia merupakan program bersama antara kerajaan negeri dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Kita yakin menerusi kaedah ini (pendekatan agama) akan membantu program pemulihan ini mencapai tahap optimum," katanya selepas mengadakan pertemuan secara tertutup dengan Ahmad di sini, hari ini.

Pertemuan kira-kira satu jam itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Datuk Dr Fadzli Hassan dan Pemangku Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kerajaan negeri juga turut bersetuju untuk turut serta bagi pemulihan banduan di Penjara Pengkalan Chepa di sini, menerusi kaedah dan pendekatan yang sama.

"Pendekatannya bukan lagi setakat lawatan daripada anggota lembaga pelawat sahaja tapi kita akan tumpukan untuk membetulkan qiraat (bacaan al-Quran), solat dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan agama (Islam).

Selain itu, kita turut meminta kerajaan negeri agar dapat meneruskan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi berkaitan dalam membantu usaha kerajaan untuk mengurangkan jenayah di Kelantan," katanya.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan perlu berlapang dada dengan mewujudkan kerjasama lebih erat dengan Kelantan agar ketiga-tiga program berkenaan dapat berjalan dengan lancar dan baik.

Ahmad Zahid berkata kerajaan Persekutuan juga akan mengadakan perbincangan secara terperinci dengan kerajaan negeri berhubung tindakan Thailand yang menyekat kemasukan tanpa dokumen ke negara berkenaan.

"Kita akan perincikan perkara ini serta isu-isu lain seperti pembinaan tembok kekal di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan (pada masa hadapan)," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri menyediakan sebuah pusat di Pasir Puteh dikenali sebagai Baiti Taubah bagi melaksanakan program Inabah, manakala bagi program pemulihan banduan di Penjara Pengkalan Chepa, kerajaan negeri akan menyediakan guru-guru tahfiz berpengalaman untuk membantu memulihkan banduan.

"Kerajaan (negeri) juga memikirkan mengenai soal-soal ummah dan semua pihak perlu bertanggungjawab (dalam membasmi gejala dadah).

Kita sekarang seolah-olah diserang oleh gejala ini dan kita perlu duduk bersama untuk mencari cara bagi mengelak masyarakat daripada terus terlibat dengan masalah ini," katanya. - BERNAMA