NILAI, 5 JUN - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah memberi sumbangan berbentuk Surah Yasin, buku agama, sejadah dan telekung kepada surau di Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, minggu lepas.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Prof Tan Sri Dzukifli Abdul Razak kepada Konsul Johann Veronicia Andal dan Atase Shamina Saidamen sempena lawatan bersama isteri, Puan Sri Masrah Abidin ke surau tersebut pada 30 Mei lepas.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah bekas duta besar Libya ke Malaysia, Dr Bubaker Almansori dan Ketua Pegawai Eksekutif, Sejahtera Leadership Initiative, Dr. Zulkifly Baharom.

Dzulkifli, dalam kenyataan di sini Isnin, berkata sumbangan tersebut bukanlah hanya dijalankan sekali sahaja oleh warga USIM, tapi sebaliknya menganggap surau itu sebagai anak angkat USIM dan akan membekalkan bahan bacaan tentang Islam dari semasa ke semasa.

Kedutaan Filipina itu mencatatkan sejarah sebagai negara pertama bukan majoriti Islam menyediakan surau dalam usaha memenuhi keperluan petugasnya.

Surau tersebut dirasmikan oleh bekas Duta Besar Filipina di Malaysia, J. Eduardo Malaya pada 4 April lepas, selepas tamat perkhidmatan beliau selama lima tahun setengah di Malaysia. - BERNAMA