ALOR SETAR, 5 Jun (Bernama) -- Anak syarikat kerajaan negeri, Bina Darul Aman Berhad (BDB) menyediakan peruntukan sebanyak RM120,000 untuk disampaikan kepada 600 asnaf terpilih dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Ramadan tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Izham Yusoff berkata setiap penerima daripada DUN Bakar Bata, Sungai Tiang, Kuala Nerang dan Jitra masing-masing menerima RM200 seorang.

"Sumbangan tersebut bagi membantu meringankan beban kos sara hidup sepanjang Ramadan di samping membuat persiapan menjelang Aidilfitri," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan DUN Bakar Bata di Masjid Al-Rahman, Alor Merah, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata walaupun BDB berdepan dengan persekitaran perniagaan yang mencabar, namun tidak melupakan komitmen mereka untuk membantu golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, seramai 300 penerima DUN Bakar Bata menerima sumbangan berjumlah RM60,000 manakala 300 penerima lagi masing-masing dari DUN Sungai Tiang, Kuala Nerang dan Jitra akan menerima sumbangan berjumlah RM60,000 sepanjang Ramandan ini.

Sementara itu, Izham memberitahu BDB turut akan menyerahkan zakat perniagaan 2016 sebanyak RM318,250 berbanding RM296,250 pada tahun 2015.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM18,250 akan diagihkan kepada golongan asnaf di Kuala Kangsar, Perak berikutan anak syarikat BDB, iaitu Kedah Holdings Sdn.Bhd telah beroperasi di pasaran hartanah di luar negeri Kedah.

-- BERNAMA