SINGAPURA, 14 JUN - Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong kecewa kerana adik-beradiknya memilih untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan peribadi keluarga.

"Saya amat sedih dengan dakwaan yang telah mereka buat. Ho Ching dan saya menafikan dakwaan ini, terutamanya dakwaan yang tidak masuk akal bahawa saya mempunyai cita-cita politik untuk anak saya," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Walaupun adik-beradik mungkin mempunyai perbezaan, saya percaya perbezaan itu sepatutnya disimpan dalam kalangan keluarga. Sejak ayah saya meninggal dunia pada Mac 2015, sebagai anak sulung, saya telah mencuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dalam keluarga, bagi menghormati ibu bapa kita," katanya.

Lee berkata kenyataan adik-beradiknya itu telah menyakiti legasi ayahnya.

"Saya akan melakukan yang terbaik untuk terus berbuat baik dengan ibu bapa saya. Pada masa sama, saya akan terus berkhidmat kepada rakyat Singapura dengan jujur dan kemampuan terbaik saya. Khususnya, dalam menegakkan meritokrasi yang merupakan nilai asas masyarakat kita," katanya.

"Sebagaimana adik-beradik saya tahu, saya kini berada di luar negara bercuti dengan keluarga. Saya akan mempertimbangkan perkara ini selepas kembali pada hujung minggu ini," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada kenyataan umum enam muka surat oleh adik-beradiknya awal hari ini.

Dr Lee Wei Ling dan Lee Hsien Yang dalam kenyataan itu berkata antara lain, mereka hilang kepercayaan terhadap abang mereka, Perdana Menteri Lee. - BERNAMA