MANILA, 5 JUN - Serangan di sebuah resort kasino popular di Filipina bukan dilakukan pengganas Daesh, kata Presiden Rodrigo Duterte lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).

"Serangan itu bukan perbuatan Daesh kerana jika mereka yang melakukannya ia lebih ganas dan kejam," kata Duterte dalam ucapannya pada Sabtu.

Duterte menyifatkan penyerang berkenaan sebagai "gila" dan menambah lelaki bersenjata itu mencuri cip kasino bernilai hampir $2 juta.

Ketua Polis Negara Ronald dela Rosa berkata, serangan itu bukan tindakan keganasan dan maklumat mengenai penyerang juga amat sedikit.

Dalam kejadian itu seramai 54 orang cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dan membakar sebuah kasino di Resorts World Manila.

Suspek kemudian ditemui mati di dalam sebuah bilik hotel dipercayai membunuh diri dengan membakar dirinya. - BERNAMA