MERSIN (Turki), 5 JUN - Turki pada Ahad menghantar sebuah kapal yang membawa muatan 13,000 tan makanan dan bantuan kemanusiaan ke Somalia dari wilayah selatan Mersin, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).

Timbalan Perdana Menteri Turki Veysi Kaynak ketika majlis pelepasan kapal berkenaan di Pelabuhan Tasucu, daerah Silifke, berkata kerajaan tidak hanya membantu dari segi penghantaran bantuan kemanusiaan semata-mata.

"Kita juga merancang melaksanakan projek-projek pembangunan," katanya, sambil menambah Turki kini sedang membina kemudahan pendidikan ketenteraan di Mogadishu.

"Mereka akan dilatih sebagai anggota keselamatan yang akan menentang keganasan," kata Kaynak.

Bantuan itu disediakan dengan kerjasama Palang Merah Turki, Agensi Kerjasama dan Penyelarasan Turki (TIKA) dan Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Somalia merupakan satu daripada beberapa negara di Afrika yang kini dilanda kebuluran berikutan kemarau. Sebanyak 11 daripada 18 wilayahnya telah dilanda bencana itu.

Kemarau turut menyebabkan berlaku kekurangan bekalan air bersih dan taun yang menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penyakit berkenaan telah menyebabkan kematian lebih 600 penduduk negara itu tahun ini.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pula, sekurang-kurangnya 615,000 penduduk negara itu menjadi pelarian sejak 2016 manakala 40,000 kanak-kanak terpaksa berhenti sekolah. - BERNAMA