KUALA LUMPUR, 7 JUN - Akademi Pengarah Malaysia (Minda) hari ini mengumumkan pelantikan Mazni Ahmad Norilah sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berkuat kuasa serta-merta.

Ini berikutan persaraan CEO Datuk Richard George Azlan Abas berkuat kuasa 5 Jun lepas.

Dalam satu kenyataan, Minda menyifatkan Mazni sebagai anggota utama pasukan eksekutif dan kepimpinan akademi itu sejak 2010.

Mazni merupakan seorang profesional pemasaran strategik dengan lebih 20 tahun pengalaman luas dan progresif dalam rangka kerja pembangunan pengarah, institusi keanggotaan dan industri kewangan.

Beliau memegang MBA dalam Perniagaan Antarabangsa dari University of East London dan menerima ijazah sarjana muda dalam Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) dari California State University, Bakersfield di Amerika Syarikat, kata kenyataan itu.

Minda ialah sebuah organisasi bebas khusus untuk berkhidmat dan mewakili pengarah korporat Malaysia bagi meningkatkan keberkesanan pengarah dan lembaga dalam usaha tadbir urus korporat yang baik. - BERNAMA