KUALA LUMPUR, 6 JUN - Permintaan kukuh daripada jangkaan bagi perniagaan kargo dan penumpang akan meningkatkan keuntungan industri syarikat penerbangan tahun ini, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

IATA juga menyemak semula unjurannya bagi keuntungan industri kepada US$31.4 bilion daripada US$29.8 bilion atas sokongan hasil US$743 bilion berbanding US$736 bilion sebelumnya, kata IATA dalam satu kenyataan.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Alexandre de Juniac berkata industri itu dijangka mencatatkan satu lagi tahun cemerlang apabila permintaan terhadap perniagaan kargo dan penumpang lebih kukuh daripada yang dijangkakan.

"Meskipun hasil meningkat, pendapatan dikekang oleh peningkatan harga bahan api, kos buruh dan perbelanjaan penyenggaraan. Syarikat penerbangan masih meraih keuntungan dan mencatatkan pendapatan mengatasi kos modal mereka. Tetapi berbanding tahun lepas, keuntungan sedikit merosot," kata persatuan itu.

Pada 2017, syarikat penerbangan dijangka mengekalkan keuntungan bersih US$7.69 bagi setiap penumpang berbanding US$9.13 pada 2016 dan US$10.08 pada 2015.

Purata margin keuntungan bersih berada pada 4.2 peratus berbanding 4.9 peratus pada 2016.

"Syarikat penerbangan mendefinisikan era baharu dalam keuntungan industri. Bagi tahun ketiga berturut-turut, kami menjangka pulangan mengatasi kos modal. Syarikat penerbangan perlu terus berhati-hati terhadap sebarang kenaikan kos, termasuk daripada cukai, buruh dan prasarana," kata de Juniac.

Meskipun keseluruhan prestasi industri terus kukuh, perbezaan antara rantau masih besar.

Kira-kira separuh daripada keuntungan industri dijana dari Amerika Utara (US$15.4 bilion), syarikat penerbangan di Eropah dan Asia Pasifik setiap satu menambah US$7.4 bilion keuntungan kepada keseluruhan industri.

Syarikat penerbangan Amerika Latin dan Timur tengah dijangka memperoleh masing-masing US$800 juta dan US$400 juta, manakala syarikat penerbangan di Afrika dijangka mencatatkan kerugian US$100 juta. - BERNAMA