KUALA LUMPUR, 5 JUN- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bekerjasama dengan TH Global Sdn Bhd bagi memasarkan produk agro makanan halal keluaran usahawan Malaysia ke Timur Tengah, seterusnya menjadikan pasaran tersebut sebagai batu loncatan ke pasaran komuniti Islam di Eropah.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, usaha membawa usahawan agro untuk menembusi pasaran antarabangsa akan dilaksanakan menerusi tiga fasa, iaitu katering industri, mesin layan diri dan saluran peruncitan.

Menerusi fasa pertama, sebanyak 14 unit menyimpan stok kategori produk rempah makanan pracampur yang bernilai hampir RM1 juta akan digunakan oleh 12 Dapur Tabung Haji yang akan mula beroperasi pada musim haji tahun ini.

"Produk rempah sebanyak 25 tan metrik akan dihantar menerusi dua kontena pada fasa pertama yang melibatkan tiga usahawan dan dijangka tiba ke pelabuhan Raja Abdullah pada 28 Jun ini," katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan TH Global hari ini.

TH Global selaku pengantara bagi penerokaan produk halal tempatan ke Arab Saudi dan negara Majlis Negara Kerjasama Teluk seperti Kuwait, Oman dan Qatar.

Mengulas mengenai fasa kedua yang melibatkan mesin layan diri, Ahmad berkata, sebanyak 90 produk yang dihasilkan oleh 30 syarikat akan disaring sebelum dipilih memasuki pasaran Timur Tengah.

"Kami menjangka fasa kedua akan bermula pada akhir tahun ini selepas musim haji berakhir," katanya sambil menegaskan bahawa produk yang terpilih akan menjalani proses saringan yang ketat dan sudah memiliki pensijilan yang diiktiraf kerajaan di luar negara seperti amalan pengilangan baik.

Menerusi fasa terakhir yang menggunakan saluran peruncitan, FAMA dan TH Global akan bekerjasama dengan pasaraya dan hotel tempatan bagi membekalkan produk agro di luar musim haji, terutama untuk kegunaan jemaah umrah. - BERNAMA