KUALA LUMPUR, 5 JUN - AirAsia Bhd memenangi dua anugerah di majlis Anugerah Pengembaraan Dunia (Asia dan Australasia) 2017 di Shanghai, China Ahad lepas.

Syarikat penerbangan itu dipilih sebagai Peneraju Syarikat Penerbangan Tambang Murah Asia dan juga anugerah Peneraju Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Murah Asia, menewaskan pencabar lain seperti Air India Express, Firefly dan GoAir.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata, anugerah itu mengiktiraf komitmennya untuk mencatat kecemerlangan dalam perkhidmatan dan ia berdasarkan undi daripada profesional pengembaraan dan pelancongan seluruh dunia.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat itu akan memberi tumpuan kepada menambah baik sistem daftar masuk penumpang bagi menjadikan proses itu lebih mudah.

"ROKKI, portal Wi-Fi dalam pesawat AirAsia, adalah usaha penting kami untuk menjadikan pengalaman dalam penerbangan yang lebih baik dan makanan dalam penerbangan Santan kami semakin kukuh.

"Kami teruja untuk membawa produk unik ASEAN ini kepada Asia dan seluruh dunia," tambahnya. - BERNAMA