KUALA LUMPUR, 5 JUN - Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2017 meningkat 22.5 peratus kepada RM139.18 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas, dengan eksport naik 20.6 peratus kepada RM73.97 bilion.

Eksport mengekalkan pertumbuhan dua digit untuk lima bulan berturut-turut sejak Disember 2016, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ketika mengumumkan perangkaan perdagangan luar Malaysia di sini, hari ini.

Eksport pada April 2017 meningkat 20.6 peratus kepada RM73.97 bilion berbanding April 2016 dan import naik 24.7 peratus kepada RM65.21 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM8.75 bilion.

Ia adalah lebihan dagangan bulan ke-234 berturut-turut sejak November 1997.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah dagangan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 12.9 peratus, 10.5 peratus dan 15.6 peratus, berikutan kesan nilai asas yang tinggi pada Mac.

MITI berkata, jumlah perdagangan bagi empat bulan pertama 2017 berjumlah RM569.68 bilion, meningkat 23.8 peratus berbanding RM460.02 bilion yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Eksport naik 21.2 peratus kepada RM298.65 bilion manakala import tumbuh 26.9 peratus kepada RM271.03 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM27.62 bilion.

Malaysia mencatat peningkatan perdagangan dengan rakan dagangan utama seperti ASEAN, China, Jepun, India, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat .

"Pada April 2017, pertumbuhan eksport dua angka dicatat untuk semua sektor utama, iaitu barangan perkilangan, hasil galian dan keluaran pertanian," kata MITI.

Eksport barangan perkilangan meningkat 17.3 peratus kepada RM60.48 bilion, merangkumi 81.8 peratus daripada jumlah eksport Malayasia.

Eksport hasil galian meningkat 51.8 peratus kepada RM6.49 billion, manakala eksport keluaran pertanian naik 20.9 peratus kepada RM6.3 bilion, disumbangkan pertumbuhan eksport minyak sawit, keluaran berasaskan minyak sawit serta getah asli.

Menurut MITI, perdagangan dengan ASEAN pada April naik 19.7 peratus kepada RM37.38 billion.

Eksport ke rantau itu meningkat 14.9 peratus kepada RM21.13 bilion, disokong eksport lebih tinggi barangan elektrik dan elektronik, petroleum mentah, kimia dan bahan kimia, barangan makanan diproses serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Perdagangan dengan China pada April berkembang 28.9 peratus kepada RM22.62 bilion, perdagangan dengan EU meningkat 15.1 peratus kepada RM12.91 bilion, manakala perdagangan dengan Jepun tumbuh 27.4 peratus kepada RM11.47 bilion .

MITI berkata, perdagangan dengan rakan dagangan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bernilai RM88.04 bilion, meningkat 25.3 peratus, merangkumi 63.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport berjumlah RM46.92 bilion, naik 26.9 peratus dan import bernilai RM41.13 bilion, meningkat 23.6 peratus.

Menurutnya, eksport ke hampir semua rakan dagangan FTA mencatat pertumbuhan kecuali Vietnam, Kemboja dan Laos.

Malaysia mencatat pertumbuhan eksport tiga digit dengan Turki, iaitu 144.6 peratus kepada RM905.4 juta dan New Zealand sebanyak 119.9 peratus kepada RM365.2 juta.

Sementara itu, import negara pada April 2017 naik 24.7 peratus kepada RM65.21 bilion dan tiga kategori utama mengikut penggunaan akhir adalah barang pengantara, barang modal dan barang penggunaan.

Import barang pengantara bernilai RM38.39 bilion atau 58.9 peratus daripada jumlah import, naik 29.2 peratus manakala import barang modal bernilai RM8.01 bilion atau 12.3 peratus daripada jumlah import, meningkat 14.8 peratus.

Sementara itu import barang penggunaan bernilai RM5.66 bilion atau 8.7 peratus daripada jumlah import, naik satu peratus. - BERNAMA