KUALA LUMPUR, 3 MEI - Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) menyambut baik pelaksanaan hukuman pemotongan mata oleh Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) yang dikenakan terhadap empat pasukan Liga Malaysia (Liga-M).

Presiden PFAM, Hairuddin Omar, dalam kenyataan hari ini, menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan hukuman itu yang disifatkan semakin sinonim dalam kalangan pasukan Liga-M. Menurutnya, hukuman itu bakal menjadi pengajaran terhadap semua pasukan yang bertanding kerana kegagalan menguruskan gaji pemain adalah kesalahan serius. 

"Isu tunggakan gaji berlaku dalam bola sepak tempatan. Kegagalan pasukan dalam menguruskan gaji pemain adalah kesalahan serius dan berat. 

"PFAM percaya tindakan pemotongan mata dan larangan perpindahan dapat menjadi pengajaran kepada pasukan yang dikenakan tindakan, selain menjadi peringatan kepada pasukan lain," katanya. 

Dua pasukan Liga Super - Kelantan dan T-Team - antara empat pasukan yang dikenakan hukuman pemotongan enam mata berkuat kuasa serta-merta, susulan kegagalan melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan liga berkenaan yang berakhir pada Disember 2016. 

Dua pasukan Liga Perdana, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima nasib sama selepas gagal menyelesaikan masalah itu dalam tempoh ditetapkan. 

PFAM turut menggesa pasukan dikenakan hukuman segera menyelesaikan tunggakan gaji bagi memastikan integriti industri bola sepak tempatan terpelihara menerusi kebajikan para pemain yang tidak diabaikan. - BERNAMA