Tarikh 11 Mei tarikh keramat untuk UMNO dan tahun ini , genap 71 tahun usia parti yang menjadi tunggak pemerintahan negara ini.

Tujuh dekad sudah tentunya satu tempoh yang lama dan semakin menghampiri satu abad. Di sebalik pelbagai peristiwa, cabaran serta rintangan, UMNO tetap teguh melayari samudera perjuangan demi kesejahteraan serta kebajikan rakyat.

Bertolak daripada era perjuangan mendapatkan kemerdekaan tanah air, UMNO sebagai tunjang kerajaan parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) banyak menabur jasa untuk memastikan negara ini terus pesat membangun.

Hasil perjuangan berdekad dapat disaksikan hari ini. Keutuhan ekonomi, kejayaan anak bangsa, kemakmuran serta nikmat kebahagiaan yang dikecapi rakyat jelata bukan datang bergolek tanpa taruhan keringat dan air mata serta semangat juang yang kental.

Usaha kerajaan mencakupi semua tanpa ada peminggiran atau perbezaan status. Banyak usaha transformasi dilakukan daripada pelbagai aspek termasuk pendidikan, perumahan serta bantuan kesihatan rakyat.

“Di sebalik semuanya ini ada peranan UMNO yang terus komited memperjuangkan kesejahteraan rakyat,” kata Pakar Geostrategis, Azmi Hassan yang juga penganalisis politik kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

PUJIAN SERTA PENGIKTIRAFAN

Menurut Azmi, apa yang dikecapi khususnya anak muda hari ini bukan sesuatu yang datang secara sengaja.

“Itu semua jasa UMNO sebagai peneraju utama pemerintahan negara bersama rakan komponen BN menerusi agenda, perancangan dan dasar dilaksanakan selama ini.

“Malah, kalau dibandingkan dengan negara lain yang merdekanya sama dengan kita, pembangunan Malaysia lebih jauh ke hadapan. Ini membuktikan bahawa UMNO melakukan yang betul dengan menghadiahkan kehidupan lebih baik,” katanya.

Beliau turut menyentuh kejayaan cemerlang parti keramat ini dalam mengemudi transformasi negara bukan sahaja diyakini rakyat bahkan juga mendapat pujian dan pengiktirafan negara luar.

Azmi mengambil contoh isi kandungan buku berjudul ‘From Kampung to Twin Towers: 50 Years of Economic and Social Development’ karya Datuk Dr. Richard Leete, bekas Pengarah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Pada permulaan buku, penulis ada mencatatkan betapa Malaysia banyak berubah daripada sebuah negara miskin dan pertanian menjadi negara moden dengan kemajuan yang pesat.

“Kedudukan orang Melayu ketika awal kemerdekaan dikatakan agak ketinggalan kerana kebanyakannya tinggal di kampung tetapi dengan pelbagai agenda pemerkasaan bumiputera, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB), kewujudan Felda dan banyak lagi, kita dapati ada perubahan ketara kedudukan orang Melayu.

“Mungkin matlamatnya belum sampai, tetapi UMNO sudah terbukti berjaya meningkatkan taraf hidup orang Melayu menerusi dasar pemerintah,” jelas Azmi.

JASA AMAT BERHARGA

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan adalah perjuangan parti keramat ini tidak hanya terhad mengangkat martabat dan maruah nasib bangsanya sendiri iaitu orang Melayu.

Perjuangannya mencakupi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang biarpun UMNO adalah parti yang berdiri di atas nama Melayu.

Sebagai sebuah negara majmuk, Malaysia memang terkenal sehingga di persada antarabangsa dengan kemakmuran jalinan hubungan antara kaum sekian lama.

Ia diwarisi daripada kesepakatan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersama rakan kaum Cina dan India, Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan ketika sama-sama menggalas perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara.

Tidak ada istilah terpinggir kerana setiap penggubalan serta pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan dibuat atas dasar persetujuan bersama dan mengambil kira kepentingan umum, bukannya berlandaskan pada satu bangsa semata-mata.

“Antara jasa paling besar UMNO adalah berjaya mewujudkan negara bangsa yang unik dan mengekalkan keharmonian selama 71 tahun. Mungkin persepsinya, UMNO dilihat agak ekstrem menjaga agama, bangsa dan budaya orang Melayu.

“UMNO banyak bertolak-ansur daripada mula kita merdeka sehingga sekarang. Meskipun UMNO parti dominan dalam kerajaan tetapi daripada segi pembangunan, ekonomi, parti membuat dasar bukan sahaja orang Melayu dapat 100 peratus.

“Bangsa lain juga dapat manfaatnya. Hasilnya tidak ada mana-mana pihak berasa hak dan kebebasan mereka dinafikan malah segala kemakmuran dan kesejahteraan dinikmati bersama,” kata Azmi.

PARTI PALING LAMA

Perjuangan UMNO membantu rakyat bukan sekadar peningkatan taraf hidup, kerancakan pembangunan negara dan penyediaan pekerjaan, malah meliputi juga aspek keamanan serta keharmonian yang dilihat sebagai hadiah amat berharga buat mereka.

Merujuk negara luar yang tersepit dalam kancah pertikaian dan peperangan sehingga ada terpaksa menjadi pelarian mencari perlindungan di negara lain, Malaysia amat bertuah kerana tidak berdepan dengan keadaan sedemikian rupa.

“Sepanjang 71 tahun penubuhan UMNO, kita hanya menghadapi satu sahaja malapetaka iaitu tragedi 13 Mei, 1969 tetapi usaha penyelesaiannya dilakukan sebaik mungkin dan polisi kerajaan berjaya mengekalkan kemakmuran negara,” kata Azmi.

UMNO tentunya juga boleh berbangga dengan pencapaian luar biasanya sejak merdeka sehingga menjadikannya satu-satunya parti paling lama bertahan di dunia.

Parti ini bukannya tidak pernah dilanda badai sepanjang tujuh dekad menerajui pemerintahan negara.

Ia pernah dibatalkan pendaftaran dan berdepan dengan permasalahan dalaman angkara beberapa pemimpin yang mencetuskan persengketaan.

Namun, atas kematangan kepimpinan politik yang tidak goyah memperjuangkan kesejahteraan rakyat, UMNO terus kekal menjadi parti keramat yang sentiasa mendapat mandat dan kepercayaan rakyat secara berterusan.

PEMILIKAN RUMAH

Ini termasuklah menyelami denyut nadi rakyat yang sentiasa menjadi keutamaan UMNO. Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meneruskan legasi kesinambungan parti keramat ini sangat menitikberatkan aspek kebajikan.

Sebab itulah Biro Kebajikan UMNO diwujudkan dalam menyelami keresahan hidup rakyat yang antaranya berkaitan peningkatan kos sara hidup, kumpulan berpendapatan rendah, sederhana dan pemilikan rumah.

“Perjuangan UMNO berbeza tahun 60-an dan 70-an dan ini termasuklah membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

“Pelbagai skim perumahan diperkenalkan bagi memenuhi keperluan rakyat dengan memberi keutamaan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan M40 (kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana),” jelas Azmi.

Biarpun isu rumah masih membelenggu rakyat tetapi projek seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip), Skim MyHome, Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedikit sebanyak diakui banyak membantu ke arah pemilikan berkenaan.

KESIHATAN BERKUALITI

Selain cabaran ekonomi, peningkatan taraf kesihatan rakyat menjadi antara perhatian utama UMNO sebagai tonggak parti pemerintah, demikian menurut Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim).

Hasilnya negara memiliki 139 hospital, 2,839 klinik kesihatan kerajaan, 196 Klinik 1Malaysia dan 667 Klinik Pergigian Kerajaan (statistik berdasarkan laman sesawang Kementerian Kesihatan).

Dr Ahmad Shukri berkata perkembangan transformasi kesihatan ini adalah antara jasa pemimpin serta anggota UMNO peringkat bahagian, cawangan yang sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat.

“Ketua cawangan UMNO sentiasa membawa usul ke peringkat daerah mendesak kerajaan supaya kawasan mereka mendapat hospital kerajaan ataupun klinik kesihatan baharu serta menambahbaik pusat kesihatan yang ada,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), Pulau Tawar, berkata kerajaan akan membangunkan sekurang-kurangnya tiga hospital baru di bawah setiap rancangan Malaysia lima tahun sejak pengenalan Rancangan Malaya Pertama (1956-60).

“Kalau diikutkan, kerajaan beri subsidi 98 peratus untuk seorang . Mana ada tempat lain, hanya bayar RM1 boleh dapat jumpa doktor dan ubat,” katanya.

Diharap sambutan ulang tahun UMNO ke-71 ini sedikit sebanyak memberi peluang kepada rakyat untuk mengenang kembali peranan serta sumbangan parti ini.


Oleh Sakini Mohd Said dan Ainul Huda Mohamed Saaid

Pewarta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)