KOTA BHARU, 17 MEI - Anggota UMNO terutama pemimpin di peringkat bahagian perlu mengutamakan agenda kebajikan dan tidak bersikap pilih bulu jika mahu memenangi hati rakyat, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Abdul Azeez berkata mereka perlu konsisten dengan agenda tersebut sepanjang masa jika mahu mendapatkan sokongan berterusan rakyat walaupun bukan pada musim pilihan raya.

"(Contohnya) ketika berlaku banjir di Rantau Panjang (Pasir Mas) dan Kubang Kerian (Kota Bharu), kita kena tunjukkan UMNO sentiasa berada di hadapan dalam membantu rakyat...kena letak 90 peratus hal kebajikan dan 10 peratus perkara politik.

"Kita kena tolong semua rakyat tak kira fahaman politik mereka. Kena sentiasa berlapang dada walaupun mereka tak sokong kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya UMNO bahagian Kubang Kerian di sini Selasa malam.

Hadir sama Ketua Bahagian UMNO Kubang Kerian Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani dan Ketua Bahagian UMNO Rantau Panjang Senator Datuk Abdullah Mat Yassin.

Abdul Azeez merupakan 'bapa angkat' yang dilantik oleh UMNO pusat bagi membantu kedua-dua bahagian itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau turut mengingatkan agar pemimpin di peringkat bahagian yang tidak tersenarai sebagai calon, tidak cepat melatah dengan mensabotaj calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.

Katanya, sikap tersebut perlu dibuang jauh-jauh memandangkan pucuk pimpinan mempunyai percaturan tersendiri dalam menilai kekuatan seseorang calon yang dipilih mewakili UMNO dan Barisan Nasional di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). - BERNAMA