KUALA LUMPUR, 12 MEI - Kebersamaan Lautan Merah kira-kira 150,000 bala tentera UMNO pada sambutan ulang tahun ke-71 parti itu di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam harus diterjemahkan kepada sokongan padu berterusan dan gerak kerja padu menjelang pilihan raya umum ke-14 kelak.

Itu antara intipati reaksi daripada pelbagai lapisan pemimpin UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN), yang percaya suntikan semangat luar biasa malam ini adalah isyarat kepada kejayaan mendatang jika kerjasama erat dan usaha kuat dapat dijalin dan diperkukuhkan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semangat juang tinggi dipamerkan, perlu dikongsi dan dikembangkan kepada tiga juta ahli parti di seluruh negara agar denyut nadi kebersamaan ini dapat dirasai secara keseluruhannya.

"Sambutan luar biasa semalam . Tapi kita perlu juga sokongan daripada yang di luar sana untuk terus kita laungkan dan semarakkan semangat cintakan parti. Gunalah segenap ruang peluang yang ada untuk kita mendekati mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui sejurus selesai sambutan itu.

Bagi Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, amanat Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak jelas menyampaikan pesanan supaya anggota parti menerima dan mengamalkan konsep wala' (setia) kepada pemimpin.

Katanya, amanat itu turut menggambarkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang bukan hanya berjuang untuk bangsa Melayu tetapi juga untuk rakyat keseluruhannya.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata amanat yang disampaikan oleh Najib jelas menunjukkan UMNO sejak tujuh dekad yang lalu sentiasa memperjuangkan nasib rakyat sehingga ke hari ini.

Katanya perjuangan UMNO perlu terus dihargai kerana parti itu tidak pernah meninggalkan rakyat dalam setiap perjuangan parti yang berpaksikan Islam, Melayu dan Bumiputera.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata perhimpunan itu menyumbang ke arah 'winning mentality' atau mentaliti menang yang merupakan elemen penting kepada jentera parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kalau kita dengar ucapan perdana menteri tadi pun lebih kepada memperbaharui iltizam untuk membuat persiapan menghadapi PRU dan juga dukungan roh kerjasama dengan rakan-rakan komponen BN. Kita harap jentera parti akan lebih bersemangat," katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata UMNO sebagai tunjang BN akan terus mantap bagi memastikan transformasi negara dapat dirasai oleh semua kaum di negara ini.

"Tahniah kepada UMNO dan perdana menteri. UMNO bukan untuk Melayu sahaja tetapi semua rakyat. Saya amat bangga dengan semangat UMNO yang inklusif, sederhana, yang jaga kepentingan rakyat dan bukan hanya sesuatu kaum sahaja," katanya.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subrmaniam pula berkata selain menjaga kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputera, UMNO tidak melupakan kepentingan bangsa lain melaui konsep perkongsian kuasa yang diamalkan.

"Ini menunjukkan bahawa UMNO selain daripada memperjuangkan hak Melayu telah berjaya melalui konsep perkongsian kuasa itu dengan menjaga hak masyarakat yang lain dan itu menjadi tunggak memastikan keharmonian dan keamanan politik negara," katanya.

Dr Subramaniam juga berkata, amanat tersebut juga berjaya membuka mata generasi muda mengenai pentingnya mengenang kembali sejarah negara dan cabaran yang dihadapi pemimpin UMNO dalam mempertahankan kestabilan negara.

Sementara itu Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup menyifatkan amanat presiden UMNO sebagai memandang jauh ke hadapan dengan mengingatkan anggotanya dan parti komponen BN tentang pentingnya bersatu.

"Amanatnya supaya semua anggota UMNO dan BN tetap bersatu dalam apa jua keadaan dan bersedia menghadapi cabaran dari luar perlu diberi perhatian. Tahniah kerana selama tujuh dekad UMNO masih berjaya mengekalkan kesetiaan anggotanya," katanya.

Perasmian acara sambutan itu disempurnakan Najib dan barisan kepimpinan UMNO serta wakil-wakil anggota parti dari seluruh negara. - BERNAMA