NILAI, 16 MEI - Sepasang suami isteri yang mengendalikan program 'Aid Container Malaysia-Syria', satu projek bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Syria, berharap untuk mendapat sumbangan makanan bagi membantu rakyat di Negara yang bergolak itu terutama ketika menjelang bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

Antara barangan yang sangat diperlukan oleh Jamalulail Ismail dan Sofinee Harun untuk dihantar ke Syria adalah susu bayi, tomato puri dan sardin.

Sofinee, 43, berkata pihaknya juga berharap rakyat Malaysia dapat menyumbangkan kuih raya memandangkan kapal yang membawa kontena bantuan itu akan mengambil masa sebulan untuk belayar dan dijangka tiba di Syria beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri.

"Projek kontena bantuan yang memasuki siri kedua ini lebih memfokuskan untuk menyalurkan bantuan kepada 300 penduduk daripada 50 keluarga di Kampung Atmeh di Wilayah Idlib dan bantuan ini dijangka mampu bertahan selama tiga bulan," kata Sofinee kepada Bernama di sini.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghantar sumbangan di lokasi pengumpulan barang bantuan itu selewat-lewatnya Khamis ini (18 Mei) di Lot 17 & 18, Jalan Nilai Square 1 di sini atau mereka boleh menghubungi Sofinee di talian 019-3162314 atau 06-8507673 untuk sebarang pertanyaan.

Program 'Aid Container Malaysia-Syria' turut merancang untuk memberi hadiah sempena Aidilfitri kepada kira-kira 1,000 kanak-kanak di sekitar Kampung Atmeh terutama anak-anak yatim.

Ketika ini, Sofinee dan Jamalulail, 48, yang mempunyai pengalaman menyalurkan bantuan kepada mangsa peperangan sejak 2015, sedang menguruskan kerja-kerja pembungkusan bantuan bersama kira-kira 200 sukarelawan yang membantu daripada awal pengumpulan sehinggalah kepada proses terakhir penghantaran kontena bantuan ke Pelabuhan Klang.

Menurut Jamalulail, pada masa ini keadaan di Syria masih tegang dengan ramai rakyatnya yang hidup melarat tanpa makanan dan kerana itulah beliau bersama Sofinee sejak Februari lepas tampil secara sukarela menyalurkan pelbagai bantuan yang didermakan orang ramai.

"Dalam siri pertama penghantaran bantuan kontena pada 11 Mac lepas, kami telah menghantar sebuah kontena bantuan dipenuhi dengan barangan makanan, pakaian, katil hospital, tangki oksigen dan alat permainan kanak-kanak dan ia telah selamat tiba di lokasi pengagihan bantuan di Atmeh.

Proses pengagihan barangan bantuan juga sedang dilakukan oleh sukarelawan kami yang menetap di sana kepada kira-kira 2,000 penduduk di Atmeh," katanya sambil menyifatkan proses pengagihan barangan bantuan di sana merupakan proses paling mencabar kerana 15 sukarelawan yang ditugaskan di sana perlu mengenal pasti keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan itu.

Jamalulail berkata menerusi siri pertama pada Mac lepas, mereka berjaya mengumpulkan barang bantuan bernilai kira-kira RM239,000.

Kesinambungan daripada bantuan siri pertama itu, Jamalulail berharap mereka dapat mengumpulkan lebih banyak bantuan menerusi siri kedua dengan anggaran nilai barang RM350,000.

"Setelah penderma kami melihat bantuan yang disalurkan mereka menerusi siri pertama telah diterima penduduk di Atmeh, saya lihat semakin ramai tampil memberikan bantuan antaranya daripada individu perseorangan, badan korporat, pensyarah dan pelajar universiti," katanya.

Jamalulai dan Sofinee yang menetap di United Kingdom sejak 18 tahun lalu pulang bercuti ke Malaysia selama lima minggu sejak Selasa lepas bagi memastikan misi bantuan itu selesai dan dapat membantu penduduk di Syria.

Projek murni ini merupakan susulan daripada kerja-kerja amal yang dilakukan mereka sejak 2015 selepas mengasaskan dapur bantuan makanan atau lebih dikenali sebagai 'Kitchen in Calais' di kem pelarian di Calais, Perancis.

Kem pelarian yang lebih dikenali 'Jungle' itu menempatkan pelarian dari negara bergolak seperti Syria, Afghanistan dan Iran.

Malangnya, pada akhir Oktober tahun lalu, kem pelarian itu ditutup oleh kerajaan Perancis, manakala dapur bantuan itu dirobohkan. Namun, kejadian itu tidak mematahkan semangat pasangan itu, sebaliknya mereka terus membantu golongan yang memerlukan menerusi inisiatif baharu, 'Aid Container Malaysia-Syria'.

Sofinee berkata idea kontena bantuan itu timbul sejak beliau bersama Jamalulail menjalankan 'Kitchen in Calais' itu.

"Selepas melihat kontena bantuan tiba dari United Kingdom dan negara-negara Eropah yang lain ke kem pelarian itu, saya sedar bahawa tidak mustahil orang Malaysia juga boleh melakukan perkara sama.

"Jadi kami ambil keputusan untuk mencedok idea kontena bantuan itu dengan fokus untuk menyalurkan bantuan terus ke Syria," katanya yang turut mempunyai rangkaian hubungan baik dengan pihak tertentu di Idlib, Syria dan Turki yang sedia membantu dan memudahkan lagi urusan penghantaran kontena bantuan itu. - BERNAMA