SETIU, 16 MEI – Kerajaan Terengganu akan menyediakan kawasan seluas kira-kira 400 hektar bagi penanaman jagung secara besar-besaran yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada lebih 22,000 penduduk di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, projek yang dirancangkan secara berperingkat-peringkat di seluruh negeri itu selaras dengan agenda negara iaitu bagi mengurangkan kebergantungan import jagung bagi makanan ternakan.

“Dua tahun lepas negara telah mengimport sebanyak RM3.1 bilion jagung bagi memenuhi permintaan tempatan, dan angka itu agak tinggi.

Pengeluaran jagung dari Terengganu secara besar-besaran itu dilihat mampu mengurangkan kebergantungan terhadap jagung dari luar untuk kegunaan dalam negara dan mampu menyelamatkan aliran wang keluar yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan projek tanaman jagung di bawah program Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu di Rhu Tapai, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Badrul Hisham Mohd dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Muhammd Pehimi Yusof.

Ahmad Razif berkata, ketika ini syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) telah melabur sebanyak RM27 juta dalam industri penanaman jagung di kawasan berkenaan dengan menyasarkan pengurangan import jagung dari luar negara sebanyak RM3.5 bilion dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun akan datang.

Katanya, GWG juga telah menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan yang akan menjadi stesen penyelidikan bagi progran pertanian, khususnya program pembangunan genetik yang akan mengeluarkan spesis tanaman bermutu tinggi dan berdaya tahan.

“Saya berharap pusat itu juga dapat digunakan sebagai satu tarikan pelancong kerana ianya boleh menyediakan maklumat dan mendidik pelawat tentang tanaman itu termasuk proses penanaman dan penghasilannya sebagai makanan haiwan ternakan.

Saya percaya pusat maklumat itu kelak akan mempunyai tarikan pelancongan yang tersendiri,” katanya. – BERNAMA