KUALA TERENGGANU, 4 MEI - Jambatan yang menghubungkan kampung Teluk Pasu, Pulau Sekati dan Bukit Losong, kini siap dibina dan dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di jambatan Sultan Mahmud serta Jambatan Manir seperti yang berlaku sekarang.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata jambatan sepanjang tiga kilometer dengan empat lorong dua hala yang mula dibina pada April 2012 itu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM242 juta.

Katanya jambatan itu akan menghubungkan rangkaian jalan sedia ada di Kuala Nerus seperti kampung Kubang Jela, Banggol Tuan Muda, Kampung Jeram Tok Kong, Bukit Jong dan seterusnya ke Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) atau ke Setiu, Besut dan Kelantan.

Selain itu, jika melalui dari Kampung Losong, ia menghubungkan pusat bandar Kuala Terengganu dan ke kawasan bandar baru Bukit Besar, Jalan Kuala Berang dan ke pusat pelancongan Tasik kenyir.

"Dengan siapnya projek jambatan itu, ia merupakan satu lagi kemudahan yang disediakan kerajaan untuk rakyat. Kita sedang mencari satu tarikh yang sesuai bagi upacara perasmian jambatan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Pertubuhan Kebajikan Amal Makruf Peribumi (KAMP), di sini semalam.

"Saya yakin apabila siap satu lagi jambatan iaitu jambatan angkat yang menghubungkan Seberang Takir-Bandaraya Kuala Terengganu, sudah pasti masalah kesesakan lalu lintas dapat diatasi sepenuhnya," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankusa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Pulau Sekati Ramli Man, 56, melahirkan rasa syukur apabila jambatan yang dibina melalui kampungnya itu sudah siap dan dapat memberi kemudahan kepada penduduk.

Katanya, sebelum ini kira-kira 250 penduduk pulau berkenaan hanya menggunakan jambatan kayu dan bot untuk ke tanah besar.

"Saya harap jambatan kayu berkenaan tidak akan diroboh. Ini kerana ia memberi kemudahan kepada pelajar kampung itu berulang alik ke Sekolah Kebangsaan Paloh," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Razif meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada KAMP, sebagai bantuan pentadbiran pertubuhan Melayu yang mempunyai lebih 12,000 anggota itu. - BERNAMA