SEREMBAN, 3 MEI - Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan hari ini mengadakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam berpegang teguh kepada integriti bagi menghindarkan gejala rasuah dan salah guna kuasa kalangan pegawai jabatan itu.

Majlis ikrar itu yang berlangsung di jabatan itu di sini diketuai Pengarah Pendidikan negeri, Rusni Ab. Jalil dan disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan Ramli Ismail.

IBR adalah satu inisiatif diperkenalkan SPRM yang memberi tumpuan kepada ikrar dan janji bagi menghindarkan gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang menjalankan tugas.

Ketika berucap pada majlis itu, Ramli berkata, IBR merupakan satu pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Katanya IBR melibatkan komitmen daripada individu iaitu setiap individu dalam organisasi perlu meneliti dan memahami apa yang diikrarkan iaitu dalam konteks ini ialah menangani isu-isu rasuah, salah guna kuasa dan juga penyelewengan.

"IBR ini fokus kepada individu iaitu ia adalah komitmen secara sukarela. Sehubungan itu, apabila ikrar telah dilafazkan, bermakna pegawai dan kakitangan terbabit telah berjanji untuk memenuhi segala apa yang telah diikrarkan.

"Ikrar itu tadi janganlah dijadikan sebagai tiket bahawa kita telah bebas daripada rasuah kerana banyak perkara lagi yang perlu diberikan perhatian seperti dari segi isu-isu tadbir urus," katanya.

Ramli berkata untuk memastikan pentadbiran itu berjalan dengan baik, tanpa sebarang masalah dan sebagainya maka pegawai terbabit perlulah memahami dan mengikut segala arahan yang dikeluarkan (diberikan) selagi arahan itu bertepatan dengan apa yang sepatutnya dijalankan.

"Jadi, kita tidak mahu isu-isu yang remeh diperbesarkan dan seterusnya ia menyebabkan tadbir urus tidak dapat berjalan dengan baik," katanya. - BERNAMA