KUALA LUMPUR, 3 MEI - Umum mengetahui yang pengorbanan seorang wanita bergelar ibu tidak hanya hebat semasa fasa kehamilan dan kelahiran sahaja kerana pengorbanan mereka yang bertitik tolak daripada anugerah rasa kasih daripada Yang Esa selalunya berterusan sehingga ke hujung nyawa mereka.

Memahami yang produk-produk yang berada di dalam pasaran kebanyakannya berbahaya kepada kesihatan anak-anak kecil, Noor Azimah Zakaria, 32, menggunakan ilmu yang dituntut semasa di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menghasilkan produk bayi untuk kegunaannya sekeluarga.

Ibu kepada empat orang anak yang berasal dari Kuala Ketil Kedah ini menghabiskan masa dan tenaga dalam mengeluarkan satu produk alami berjenama Najlaa Baby Skincare.

Produk ini pada awalnya dibangunkan untuk kegunaan anak-anaknya yang mengalami sawan tangis, ekzema dan selsema berkahak yang teruk.

Perjalanan Najlaa Baby Skincare bermula selepas kelahiran anak sulung Noor Azimah pada tahun 2011.

SAWAN TANGIS DAN MINYAK ANGIN NAJLAA

Bagi Noor Azimah, kehidupan berkeluarga yang beliau impikan sepertinya lengkap dengan kelahiran anak sulung beliau yang diberikan nama Aqilah Najlaa pada 22 Mac, 2011.

Namun, impian itu sedikit terganggu apabila bayi comelnya mengalami sawan tangis yang berpanjangan dan serius. Aqilah Najlaa terus-terusan menangis dan ada masanya sehingga melebihi 10 jam, merusuhkan hati ibu dan bapanya.

"Saya membawa Najlaa ke hulu ke hilir untuk berubat, namun dia tetap menangis setiap malam.

Sehinggalah saya bertemu seorang tua yang merawat Najlaa dan mengajar saya mengenali herba dan menghasilkan minyak angin untuk Najlaa," kata Noor Azimah dalam emel kepada BERNAMA PLUS baru-baru ini.

Minyak angin itu dinamakan Minyak Herba Najlaa dan itulah itulah permulaan Najlaa Baby Skincare.

EKZEMA DAN SELESEMA

Selesai satu masalah, timbul satu lagi masalah yang perlu dihadapi oleh ibu muda ini.

"Kemudiannya Najlaa mengalami ekzema tidak serius seawal usia tiga bulan. Saya menggunakan krim steroid, yang kemudiannya saya sedar berbahaya untuk bayi saya," katanya.

Wanita yang merupakan graduan bidang dietitik UIA ini, berhempas pulas membuat kajian ke atas herba-herba untuk menghasilkan krim yang dapat merawati penyakit ekzema Aqilah Najlaa, maka terhasillah Krim Herba Najlaa.

Dalam pada itu, kehidupan keluarga kecil ini diserikan lagi dengan kehadiran cahaya mata yang kedua, seorang bayi lelaki bernama Uwais Al Qarni yang dilahirkan pada bulan Mei 2012.

Namun pada usia tiga bulan, Uwais terpaksa dimasukkan ke hospital kerana mengalami suhu badan yang tinggi berserta kahak yang sangat teruk dan kerana tidak sanggup melihat bayi kecilnya menjalani prosedur menyedut kahak yang menyakitkan, Noor Azimah lantas bekerja keras pula untuk menghasilkan balm dengan mengkaji herba-herba yang mampu merawat selesema.

PRODUK PALING 'HOT'

"Alhamdulillah Uwais sembuh dan keluar hospital. Itulah kali terakhir Uwais menjejak tangga hospital, kini usianya lima tahun, moga Uwais terus sihat.

Balm ini saya namakan Baby Balm Najlaa dan merupakan produk Najlaa paling hot," tambahnya.

Pengalaman yang beliau lalui ini mengundang galang di hati dan kerana memahami akan penderitaan ini, Noor Azimah bertekad untuk menyebarkan kebaikan produk-produk yang telah beliau kaji dan hasilkan kepada para sahabat yang mengalami masalah yang sama.

"Kebaikan produk Najlaa saya kongsikan dengan kawan-kawan yang anak mereka turut mengalami masalah sama. Produk ini menjadi buah mulut dan berkembang dengan sendirinya daripada kawan kepada kawan, dari daerah ke daerah yang lain, dari negeri ke negeri sehingga kini ia berada di seluruh Malaysia," katanya lagi.

Pada bulan November 2014, secara rasminya Najlaa Baby Skincare ditubuhkan.

PRODUK ALAMI

Dalam 'kebisingan' produk-produk penjagaan dan rawatan kulit yang melanda pasaran tempatan, produk -produk alami atau yang berasaskan herba dan tumbuh-tumbuhan cuba mencari tapak jualan sendiri.

Kebanyakan daripadanya hanya mensasarkan satu segmen kecil pasaran, iaitu para pelanggan yang tidak mencari keajaiban segera sebaliknya kesembuhan yang walaupun lambat namun pasti berlaku.

Apabila ditanya mengenai definisi produk alami, Noor Azimah yang juga merupakan Perumus Komestik Bertauliah daripada Institute of Skin and Product Evaluation (ISPE) berkata: "Produk alami adalah produk yang dirumus menggunakan bahan-bahan daripada alam semulajadi dan menggunakan kurang daripada lima jenis bahan kimia tidak berbahaya."

Dalam kalangan ibu bapa, terdapat peralihan yang jelas tampak terhadap penggunaan produk alami untuk diberikan kepada anak-anak mereka.

"Pendedahan maklumat dari masa ke semasa tentang akibat buruk produk kosmetik yang menggunakan bahan kimia berbahaya telah mengubah pemikiran pengguna. Oleh itu mereka bertukar menggunakan produk-produk penjagaan kulit yg alami," Noor Azimah berkongsi.

EKSTRAK HERBA DITANAM SENDIRI

Di pasaran terdapat terlalu banyak produk penjagaan kulit bayi dan kecantikan yang banyak menggunakan bahan-bahan kimia yang mempunyai pelbagai kesan kepada para pengguna.

Menurut Noor Azimah, produk alami selamat digunakan dan kesembuhannya tidak mendatangkan mudarat yang lain dan berkesan dalam merawat penyakit-penyakit yang dihidapi.

Dalam pengeluaran Najlaa Baby Skincare sendiri, beliau menggunakan ekstrak herba-herba perubatan segar dan ditanam sendiri secara organik.

"Produk Najlaa dirumus menggunakan kimia-kimia yang tidak berbahaya kepada manusia mengikut standard yang ditetapkan oleh badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA). Setiap produk Najlaa dirumus menggunakan bahan-bahan asas alami dan mengandungi kurang daripada lima jenis bahan kimia," katanya.

Antara bahan alami yang digunakan adalah minyak kelapa dara dan minyak zaitun yang merupakan bahan asas semua produk, minyak argan, minyak bunga matahari dan mineral semulajadi serta gliserin sayur-sayuran.

MEMBERI LEBIH SENYUMAN

Menurut Noor Azimah, berkaitan menangani masalah individu dan syarikat yang mendakwa produk mereka adalah bersifat alami, walaupun sebenarnya tidak, para pengguna perlu bijak untuk tidak mempercayai bulat-bulat sebarang dakwaan yang dibuat.

Seharusnya, para pengguna mesti mendapatkan informasi yang telus dan benar berkenaan sesuatu produk sebelum menggunakannya.

Menurutnya, ada masanya produk-produk alami di pasaran tidak sesuai digunakan oleh semua orang.

"Ada orang yang mempunyai alahan kepada bahan-bahan alami juga, contohnya ada pesakit ekzema yang alah kepada minyak kelapa dara, buah avokado dan sebagainya. Mereka harus tahu jenis alahan yang mereka alami sebelum membeli sebarang produk," nasihatnya.

Bagi Noor Azimah sendiri, matlamat beliau mengeluarkan produk Najlaa Baby Skincare ini adalah untuk menyediakan persekitaran selamat untuk bayi dan kanak-kanak dan menambah nilai kesihatan mereka, sekaligus memberi lebih senyuman dalam kehidupan mereka.

Selain itu, beliau juga mahu membantu para surirumah tangga untuk menjana pendapatan sendiri.

"Berkongsi rezeki adalah salah satu sasaran kami, membantu surirumah tangga mempunyai pendapatan sendiri untuk meingankan beban kewangan keluarga," katanya. -BERNAMA