PUTRAJAYA, 4 APRIL - Mahkamah Majistret di sini melanjutkan tempoh reman seorang ahli perniagaan bergelar 'Tan Sri' selama tiga hari bagi membantu siasatan kes cubaan merasuah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung penganugerahan darjah kebesaran.

Perintah reman bermula esok sehingga 7 April itu, dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman berikutan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki berusia 54 tahun itu menutup muka dengan baju lokap berwarna jingga ketika tiba di perkarangan mahkamah diiringi pegawai SPRM pada 9.30 pagi.

Ahli perniagaan itu ditahan SPRM selepas menyerah diri di ibu pejabat suruhanjaya di sini pada Khamis lalu, 30 Mac, dan direman lima hari.

Ini susulan amaran oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki yang mahu individu itu tampil menyerah diri atau gambarnya didedahkan kepada umum.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM kerana cuba salah guna kuasa dengan meminta atau menerima rasuah untuk kepentingan peribadi.

Lelaki itu diwakili tiga peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, Datuk Joshua Kevin dan Linda Goh.

Pada 25 Mac lepas, Sultan Johor mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada ketua setiausaha negara bagi mendapatkan anugerah bergelar 'Tan Sri' daripada Yang di-Pertuan Agong. - BERNAMA