AMPANG, 30 MAC - Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyokong penuh keputusan Barisan Nasional (BN) untuk kerajaan tidak membentangkan usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen.

Perkara terbabit juga diserahkan sepenuhnya kepada Yang Dipertua Speaker Dewan Negara, Pandikar Amin Mulia untuk memutuskannya.

Semalam, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara terbabit setelah selesai Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional yang membincangkan tentang perkara tersebut.

Menurut keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional, kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 selaras dengan dasar dan amalan bahawa BN membuat keputusan berdasarkan kepada konsensus.

Ini menunjukkan, Barisan Nasional adalah sebuah parti yang bertunjangkan Musyawarah yang sentiasa mendahulukan Prinsip Kemaslahatan Ummah dalam mentadbir negara.

Pada Mei 2016 yang lalu, RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Ahli Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.