NILAI, 29 MAC - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkul Anugerah Emas Terbaik melalui projek pemangkin taraf sosioekonomi golongan orang kurang upaya (OKU) pada majlis Anugerah Kongres Duta Jauhar 3.0 di Johor baru-baru ini.

Dengan kemenangan itu, Duta Jauhar USIM membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan dan piala individu serta sijil penghargaan.

Projek tanaman cendawan tiram kelabu dengan tajuk 'Meningkatkan Potensi Orang Kurang Upaya' menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam usaha membantu 15 golongan OKU di Batu Pahat, Johor.

Pengarah projek, Muhammad Sollehin Md Satar berkata berdasarkan kajian, golongan OKU sukar mendapat kepercayaan daripada majikan menyebabkan kebanyakan mereka berpendapatan rendah dan kurang berkeyakinan.

"Melalui projek ini peserta OKU diberikan bangsal, peralatan, serta latihan secara teori dan praktikal mengenai penanaman dan penjagaan cendawan.

"Mereka dilatih sehingga menjadi pengusaha cendawan berjaya oleh Duta Jauhar dan mentor projek, Poinem Touman yang merupakan pengusaha cendawan tiram kelabu," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Katanya pada kongres itu, USIM turut dinobatkan pemenang Anugerah Komitmen Universiti Terbaik, pemenang Anugerah Perak melalui projek Ladang Air dan pemenang dua Anugerah Penyelia Terbaik menerusi pensyarah Fakulti Eknomi dan Muamalat USIM Prof Madya Dr Fuadah Johari.

Majlis Anugerah Kongres Duta Jauhar 3.0 menyaksikan persaingan antara 28 projek berimpak tinggi daripada 21 Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara yang mencatatkan penglibatan sejumlah 420 orang mahasiswa dan 100 agensi kerajaan dan swasta.

Program Duta Jauhar diilhamkan bagi memberi peluang kepada anak muda termasuk mahasiswa menyertai usaha meningkatkan kedudukan sosioekonomi masyarakat. - BERNAMA