KUALA LUMPUR, 28 MAC - Beberapa kementerian bersetuju menerima bantuan sukarelawan Renjer Hutan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengawal dan mencegah aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk penyeludupan di hutan khususnya di kawasan sempadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada dasarnya bersetuju menerima bantuan 10,000 sukarelawan Renjer Hutan APM.

Selain itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar juga bersetuju menerima 797 sukarelawan manakala kementerian dan agensi lain telah menyatakan persetujuan mereka untuk menerima sukarelawan tersebut, katanya. 

"Penubuhan sukarelawan Renjer Hutan APM adalah untuk membantu renjer hutan sedia ada dan masyarakat setempat untuk membanteras dan memantau aktiviti pembakalan haram, pembukaan tanah tanpa permit bagi tujuan pertanian, penempatan haram pendatang tanpa izin, serta aktiviti jenayah lain.

"Mereka terdiri daripada masyarakat setempat yang tahu selok-belok kawasan sekitar dan mengetahui sekiranya ada orang luar yang menceroboh kawasan mereka,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) yang ingin tahu bagaimana sukarelawan Renjer Hutan APM membantu pejabat hutan negeri untuk menguatkuasakan akta perhutanan negeri daripada dicerobohi peneroka hutan.

Katanya, kehadiran sukarelawan Renjer Hutan APM bukan mengambil alih bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri, namun mereka bekerja secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan jabatan berkenaan bagi mencegah aktiviti jenayah selain memantau kawasan berisiko banjir khususnya di kawasan tadahan air. - BERNAMA