KUALA LUMPUR, 17 MAC - Orang ramai berpeluang melihat secara dekat kehadiran armada tentera laut dari pelbagai negara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA'17) bermula minggu depan.

Pengarah Sekretariat Segmen Maritim LIMA'17, Kapten Ahmad Shafirudin Abu Bakar berkata pengunjung boleh merasai pengalaman baharu menaiki kapal perang yang berlabuh di jeti pusat peranginan itu.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menyediakan sebuah bot khas untuk membawa pengunjung LIMA'17 melihat secara dekat kapal-kapal yang berlabuh di sekitar perairan Resort World Langkawi, katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, segmen maritim pada LIMA'17 akan menampilkan sejumlah 55 kapal terdiri daripada 16 buah kapal perang tentera laut dari luar negara dan 39 buah kapal TLDM serta agensi-agensi tempatan.

"Ada pelbagai jenis kapal mengambil bahagian pada LIMA'17 termasuk kapal kelas Frigat KD Jebat, kapal kelas Korvet KD Kasturi selain tarikan utama kita iaitu kapal selam Scorpene KD Tun Abdul Razak serta penampilan sulung kapal latihan Gagah Samudera TLDM," katanya.

Ahmad Sharifudin berkata aset tentera laut dari luar negara seperti Itali, Jepun, Filipina dan beberapa negara lain akan mula berlabuh di Langkawi pada Ahad ini untuk melakukan persiapan menjelang LIMA'17.

Selain berpeluang melihat kapal perang tentera laut secara dekat, katanya, segmen maritim LIMA'17 turut menampilkan pelbagai aktiviti pameran dan demonstrasi menyelamat oleh pasukan khas TLDM serta agensi-agensi berkaitan.

"Pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri persembahan maritim menggabungkan Pasukan Khas Laut (Paskal), Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Polis Marin dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya.

Mengenai persiapan segmen maritim LIMA'17, Ahmad Shafirudin berkata 95 peratus persiapan awal sudah selesai dan hanya berbaki beberapa persiapan kecil menjelang bermulanya pameran dwitahunan itu.

"Pihak sekretariat menyasarkan peningkatan jumlah pengunjung seramai 60,000 pada edisi LIMA'17 kali ini berbanding 55,000 pengunjung bagi edisi lepas," katanya.

LIMA'17 dari 21 hingga 25 Mac ini akan menampilkan segmen aeroangkasa bertempat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri manakala segmen maritim pula berlangsung di Resort World Langkawi. -BERNAMA