GEORGE TOWN, 8 MAC - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan surat wasiat, 27 tahun lalu.

Datuk N Vasantharajan, 52, didakwa menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu surat wasiat M Arumugan Pillai yang diketahui sebagai satu dokumen palsu pada 26 Jun 1990.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan tiada bantahan daripada pihak tertuduh.

Hakim Irwan Suaibon kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April ini untuk sebutan semula kes.

Vasantharajan diwakili peguam Dev Kumaraendran. - BERNAMA