KUALA TERENGGANU, 8 MAC - Bernama berjaya merangkul dua anugerah pada Majlis Malam Apresiasi Media 2016 anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) malam tadi.

Majlis meraikan lebih 150 pengamal media yang bertugas di Terengganu itu mempertandingkan pelbagai Anugerah Gerbang Pena yang memfokuskan kepada penyelidikan dan aktiviti berkaitan universiti tersebut.

Wartawan Nur Firdaus Abdul Rahim memenangi Anugerah Berita Atas Talian (Online) Bahasa Melayu bagi kategori penyelidikan bertajuk 'UMT Hasilkan Produk Kesan Bahan Endotoksin Dalam Produk Farmaseutikal.'

Beliau turut memenangi Anugerah Berita Atas Talian (Online) Bahasa Inggeris menerusi laporan bertajuk 'UMT Creates High Calcium Pizza From Tamban Fish Bone Extract.'

Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah berjumlah RM1,000 bagi kedua-dua kategori itu yang disampaikan oleh Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar.

Sementara itu, Anugerah Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik bagi kategori pendidikan dimenangi wartawan Utusan Malaysia, Rosalinda Md Said manakala kategori penyelidikan dimenangi wartawan Berita Harian Aslina Abu Bakar.

Turut dipertandingkan ialah anugerah melibatkan peranan radio dan televisyen yang diungguli Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Anugerah Berita Televisyen Terbaik (Pendidikan), Berita Radio Terbaik bagi kategori pendidikan dan penyelidikan serta kategori am.

Terdahulu, dalam ucapannya, Nor Aeini berkata sokongan padu daripada pengamal media Terengganu selama ini telah menempatkan UMT sebagai universiti peneraju dalam bidang sains marin dan sumber akuatik.

"Ledakan teknologi komunikasi maklumat ketika ini menjadikan cabaran mempertahankan agenda nasional sangat besar dan mencabar menyebabkan aliran berita menjadi terlalu pantas, terlalu banyak informasi samaada sahih atau tidak disebarkan.

"Namun saya percaya secanggih mana pun teknologi itu, etika dan tanggungjawab anda sebagai wartawan tidak pernah berubah khususnya dalam menyampaikan maklumat tepat dalam aspek pendidikan," katanya. - BERNAMA