ALOR SETAR, 7 MAC – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memasang peranti ‘dongle’ pada setiap premis yang berdaftar dengan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi mengesan peniaga yang mengelak daripada membayarnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST), Datuk Zulkifli Yahya berkata buat permulaan projek perintis berkenaan akan dimulakan di sekitar Lembah Klang bermula pertengahan bulan ini membabitkan 5,000 premis terpilih.

“Dongle akan dipasang pada setiap mesin daftar tunai yang membolehkan setiap transaksi direkodkan dan dihantar ke mesin server JKDM di ibu pejabat,” katanya selepas melancarkan Operasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3.0 (Ops CBOS 3.0) peringkat negeri di sini hari ini.

Jelasnya, mekanisme itu membolehkan pihaknya mengetahui masa sebenar pungutan sekali gus meningkatkan tahap pematuhan peniaga dalam menyerahkan penyata taksiran pertama (penyata GST-03) dan kewajipan menyerahkan resit kepada pengguna.

“Peranti tersebut akan dipasang dalam tempoh tiga bulan dan dilihat keberkesanannya sebelum dipasang secara kekal. Tapi kita bergantung kepada dana daripada Kementerian Kewangan untuk melaksanakan sepenuhnya sistem ini kerana ianya masih di peringkat cadangan,” katanya.

Ops CBOS 3.0 akan melibatkan 200,000 syarikat berdaftar dengan GST yang bertujuan meningkatkan tahap pematuhan terhadap GST khususnya menerusi pendidikan. – BERNAMA