KUANTAN, 7 MAC - Jumlah mangsa banjir di Rompin sehingga 9 pagi ini masih kekal seperti malam tadi iaitu 26 orang daripada enam keluarga.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pahang, Zainal Yusoff berkata biarpun telah masuk hari kelima sejak Kampung Rekoh dilanda banjir sejak petang Jumaat lepas, namun kesemua mangsa masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Biarpun air banjir kini beransur surut, namun ke semua mangsa masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan ia belum surut sepenuhnya.

"Sehubungan itu kesemua mangsa diharap dapat bersabar dan terus berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Rekoh sehingga dibenarkan pulang oleh pihak berkuasa," katanya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Rompin Mohd Zulkifli Hashim berkata keadaan banjir termenung di kampung itu antara lain disebabkan oleh faktor kedudukan kampung itu terletak di kawasan rendah selain berhampiran Sungai Keratong. - BERNAMA