SHAH ALAM, 3 MAC - Dua beradik lelaki maut selepas dilanggar sebuah komuter dipercayai cuba menyeberang landasan milik Keterapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kilometer 29.51 berhampiran Stesen Kampung Jawa-Shah Alam di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.21 petang itu, mangsa, Sabiran Musa dan Nizam Riduan Musa masing-masing berusia 40 dan 36 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, kaki serta patah tangan setelah dilanggar kenderaan terbabit yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mangsa yang berasal dari Sungai Rasau, Seksyen 16 di sini sebelum itu dikatakan berjalan kaki untuk pergi ke sebuah kedai runcit yang terletak di seberang landasan komuter.

"Kedua-dua mangsa ini ialah adik beradik kandung dan bekerja membantu bapa mereka menjual ayam di Seksyen 16. Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak kira-kira 3 meter dari tempat mereka dilanggar," katanya di sini hari ini.

Tambah Shafien, mayat kedua-dua mangsa itu telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) semalam dan proses dibedah siasat akan dilakukan pada hari ini.
Malah, beliau menyatakan tiada sebarang unsur jenayah membabitkan kes itu yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - UTUSAN ONLINE