KUALA KANGSAR, 2 MAC - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah sebagai nama baharu MRSM Kuala Kangsar pada perasmian MRSM itu di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Nama baharu MRSM ke-8 di Perak dan ke-50 di Malaysia itu adalah bersempena nama ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Shah iaitu Sultan Perak ke-34.

MRSM Sultan Azlan Shah yang dibangunkan di atas kawasan seluas 20 hektar di Liman Kati Mukim Kota Lama Kiri di sini, mula beroperasi pada 6 Julai 2015 di bawah pimpinan Pengetua Shahrome Daud.

Kini MRSM itu mempunyai 725 pelajar meliputi 347 pelajar lelaki dan 378 perempuan dengan 51 guru dan 29 staf sokongan.

Penubuhan MRSM itu disasar menjadi pemangkin bukan sahaja dari sudut limpahan ekonomi tetapi juga pencetus kecemerlangan pendidikan anak-anak tempatan dengan adanya usaha sama untuk melaksanakan pelbagai program.

Sejak penubuhan MRSM pertama di Seremban, Negeri Sembilan pada 1972, kini terdapat 52 institusi itu di seluruh negara untuk memperluaskan lagi penyertaan bangsa Melayu dalam bidang sains, teknologi, pengurusan dan kerjaya peringkat profesional sekali gus mendaulatkan golongan bumiputera dalam bidang keusahawanan melalui pendidikan.

Sehingga kini, MRSM telah melahirkan lebih 170,000 pelajar dan ramai yang menjadi tokoh penting negara sama ada dalam kerajaan, korporat mahupun sebagai pemimpin politik serta usahawan dan golongan profesional. - BERNAMA