SHAH ALAM, 1 MAC - Kedudukan strategik serta peranan Selangor sebagai pintu masuk ke Malaysia mendorong negeri ini muncul antara pilihan utama pelancong mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan.

Kedudukan negeri itu dengan akses di tiga lapangan terbang utama negara seperti Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan Subang Skypark Terminal di Subang turut meningkatkan industri pelancongan kesihatan.

Kemudahan akses tersebut mendorong pengunjung mudah mendapatkan servis khidmat penjagaan kesihatan selain berpeluang memilih rangkaian hotel yang turut menawarkan pakej khidmat kesejahteraan dan spa.

Selangor merupakan negeri ketiga di Malaysia paling popular untuk pelancongan kesihatan selepas Pulau Pinang dan Melaka.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din memberitahu Bernama, dengan sasaran melonjakkan Selangor di kedudukan teratas, pihaknya menetapkan pelancongan kesihatan antara 10 segmen utama pelancongan pada tahun 2017.

Katanya, Selangor mempunyai prospek yang baik dalam pelancongan kesihatan berikutan mempunyai lebih 12 hospital kerajaan, lebih 30 hospital swasta selain pusat-pusat perubatan yang tumbuh bagai cendawan.

"Selangor mempunyai beberapa kepakaran perubatan yang terbaik di negara ini dan kebanyakan hospital swasta kita telah diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan standard kualiti seperti MS ISO9002 dan akreditasi oleh Persatuan Perubatan Malaysia bagi Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

"Hospital dan pusat perubatan di Selangor juga dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia dan kemudahan penjagaan kesihatan berteknologi intensif untuk memastikan amalan penjagaan kesihatan di negeri kita kekal terbaik," katanya.

Selain itu, jelas Noorul Ashikin, kadar bayaran perubatan dan kos pendaftaran masuk ke hospital di Malaysia khususnya Selangor juga sangat kompetitif berbanding negara maju lain.

Oleh itu, katanya, Tourism Selangor sentiasa mengambil pelbagai pendekatan dan inisiatif untuk menjadikan pelancongan kesihatan di Selangor yang terbaik.

Justeru, bagi meningkatkan imej negeri dalam industri pelancongan, katanya, pihaknya telah menganjurkan Ekspo Kesihatan dan Kesejahteraan Selangor (SWELL) 2017 di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC) di sini pada 24 hingga 26 Feb lepas.

Ekspo selama tiga hari itu disertai 75 peserta termasuk penyedia penjagaan kesihatan, pusat perubatan dan hospital serta pembekal peralatan kesihatan.

"SWELL 2017 adalah salah satu platform kepada operator kesihatan mempamerkan produk dan perkhidmatan kepada masyarakat selain menggalakkan masyarakat mencuba pelbagai produk kesihatan yang paling inovatif serta gaya hidup sihat.

"Ekspo itu juga menampilkan kemudahan hospital dan pusat perubatan di Selangor melalui segmen pelancongan kesihatan," katanya.

Noorul Ashikin, dalam pada itu berkata, Selangor menyasarkan sebanyak 7.2 juta pelancong domestik dan luar negara pada tahun ini dan ia termasuk pelancongan kesihatan.

Pada tahun lepas, katanya, Selangor mencatatkan jumlah kedatangan pelancong sebanyak 6.8 juta daripada sasaran 7.1 juta pelancong dan ia merupakan satu pencapaian membanggakan.

Tambah beliau, status Malaysia sebagai negara Islam dan 'mesra halal' turut menarik ramai pelancong dari dunia Arab dan Selangor tidak terkecuali menerima tempias itu.

"Beberapa lokasi popular di negeri ini menjadi tumpuan pelancong negara berkenaan semasa mendapatkan khidmat kesihatan, antaranya Sunway Lagoon, Sunway Pyramid, Kanching Waterfalls, Avani Sepang Goldcoast Luxury Resort, i-City Shah Alam, One Centre Shopping Utama, The Curve Damansara dan Litar F1 Sepang," katanya. - BERNAMA