RIYADH, 9 MAC - Penyertaan Malaysia sebagai Negara Tetamu Kehormat di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh 2017 membuka lembaran baharu kerjasama dengan kerajaan Arab Saudi khususnya dalam bidang pendidikan, budaya dan sejarah, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi menyatakan minat untuk meneruskan kerjasama dalam bidang terbabit selepas menjalin usaha sama melibatkan bidang seperti ekonomi, pembinaan dan industri halal menerusi lawatan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud selama empat hari ke Malaysia baru-baru ini.

"Saya melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi Dr Adel Zaid Al Toraifi dan beliau menyatakan mereka mahu mengadakan kolaborasi jangka panjang dengan Malaysia dalam bidang budaya dan lain-lain.

"Penyertaan kita pada pesta buku ini akan menjadi katalis kepada jalinan kerjasama antara kedua-dua negara," katanya kepada pemberita Malaysia selepas pelancaran pesta buku berkenaan yang disempurnakan Dr Adel di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Riyadh pada malam Rabu.

Turut hadir Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Budiman Mohd Zohdi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Khair Ngadiron.

Mahdzir berkata penyertaan sulung Malaysia pada pesta buku yang bermula dari 8 hingga 17 Mac itu diharap dapat membantu Arab Saudi dalam mencapai 'Vision 2030' menerusi pemilihan buku yang menjurus kepada pendidikan dan perkembangan kanak-kanak.

Katanya Pavilion Malaysia seluas 72 meter persegi dengan tema 'Pembaca Muda: Projek Masa Depan Tanpa Sempadan' selari dengan fokus kerajaan Arab Saudi dalam menyediakan pelan pembangunan pendidikan berkualiti menerusi wawasan negara tersebut.

"Kita bawa juga Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 untuk kita sampaikan agenda pendidikan negara selain pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang kita boleh kongsi kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Dr Adel ketika berucap pada pelancaran pesta buku berkenaan berkata penyertaan Malaysia dapat memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang pendidikan dan persuratan.

"Ia menunjukkan hubungan antara kedua-dua negara meliputi pelbagai bidang dan tidak hanya meliputi pelancongan semata-mata," katanya.

Malaysia menjadi negara ASEAN pertama diundang kerajaan Arab Saudi sebagai Negara Tetamu Kehormat di pesta buku tersebut.

Malaysia juga adalah negara ke-10 di dunia dan negara Asia ketiga selepas Jepun dan India yang menerima undangan tersebut daripada Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi. - BERNAMA