MOGADISHU, 6 MAC - Seramai 110 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak maut dalam tempoh 2 hari akibat kebuluran dan cirit-birit di selatan Somalia susulan kemarau yang menyebabkan kekurangan bekalan makanan.

Pada Februari Tabung Darurat Kanak-lanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata tahun ini, kira-kira 270,000 kanak-kanak bakal menderita akibat kekurangan zat makanan ekoran kemarau di Somalia.

“Situasi itu turut menyukarkan penternak dan ternakan mereka. Pada masa sama ramai penduduk dilanda kebuluran dan cirit-birit. Dalam tempoh 48 jam lepas 110 orang maut di wilayah Bay.

“Kerajaan Somalia akan berusaha sebaik mungkin dan menggesa semua rakyat Somalia walau di mana berada untuk membantu penduduk yang kebuluran,” kata kenyataan dikeluarkan pejabat Perdana Menteri Hassan Ali Khaire selepas mesyuarat jawatankuasa tindakan kebuluran.Empat hari lepas Presiden Mohamed Abdullahi Farmajo mengumumkan keadaan kemarau itu sebagai bencana negara.

Awal minggu ini penyelaras bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Somalia Peter de Clercq memberi amaran kemarau akan mengundang masalah kebuluran.

Menurut laporan bersama PBB dan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat, kebuluran di Somalia mengorbankan 258,000 orang antara 2010 dan 2012.

Pertubuhan kemanusiaan turut mengkritik tindakan masyarakat antarabangsa yang dikatakan lambat dalam memberi bantuan terhadap penduduk yang dilanda krisis kebuluran.

Jika masalah itu berlarutan UNICEF menganggarkan 1.4 juta kanak-kanak berdepan risiko kematian. - BERNAMA