KUALA LUMPUR, 30 MAC - Kerajaan memperuntukkan RM1.1 juta bagi projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) mangga Harum Manis di ladang seluas 137 hektar di Chuping, Perlis.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Anthony Nogeh Gumbek berkata projek yang diluluskan pada 2015 itu melibatkan pembangunan infrastruktur perladangan dan penyeliaan kawasan.

Beliau berkata projek itu melibatkan 60 pengusaha mangga Harum Manis termasuk 25 daripada golongan belia.

"Penanaman yang bermula tahun ini dijangka menghasilkan 280 tan mangga setahun dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang," katanya menjawab soalan Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) mengenai langkah transformasi kerajaan dalam melahirkan lebih ramai pengusaha tanaman itu khususnya golongan belia pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Anthony berkata kerajaan juga memperuntukkan RM7.69 juta bagi projek modul penanaman mangga Harum Manis dengan amalan pertanian dan teknologi terbaik yang dibangunkan di Pusat Kecemerlangan Tanaman Mempelam Harumanis dan Kompleks Pertanian di Bukit Bintang, Perlis, di kawasan seluas 81.97 hektar.

Katanya sejumlah RM2.1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek Pembangunan Kluster Tanaman Mangga Harum Manis untuk meningkatkan pengeluaran dan produktiviti tanaman itu, dari tahun 2014 sehingga 2015.

Projek melibatkan kawasan seluas 306.8 hektar itu disertai 545 petani termasuk 41 golongan belia, yang mana setakat ini menghasilkan 703.9 tan mangga Harum Manis. - BERNAMA