KUALA LUMPUR, 29 MAC - Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 45 peratus daripada jumlah kontrak Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) yang bernilai RM9 bilion kepada syarikat bumiputera menerusi inisiatif 'carve out and compete'.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi inisiatif ini syarikat bumiputera yang berkelayakan harus bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan kontrak bagi projek berkenaan, berlandaskan merit.

"Ini (kontrak) bukanlah dianugerahkan mengikut sesuka hati, mereka (syarikat bumiputera) mestilah membuktikan kemampuan dan pertimbangan akan dibuat berasaskan merit," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera, di sini, hari ini.

Najib berkata pakej LRT 3 daripada kerja sivil and sistem termasuklah jejambat dan bangunan parkir melibatkan sembilan pakej, laluan terowong bawah tanah (satu pakej), depot kereta (dua pakej), depot bas (tiga pakej), kerja-kerja sistem, pembekalan bahan-bahan binaan dan lain-lain.

Beliau berkata kontraktor bumiputera G2 hingga G7 di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berpeluang mengambil bahagian dalam empat kategori utama termasuk 120 pakej subkontrak bagi keseluruhan kerja sivil bernilai RM60 juta. - BERNAMA