MELAKA, 28 FEB - Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam meluahkan kekecewaan melihat pembangkang gagal membawa pembangunan diperlukan rakyat di kawasan Parlimen Bukit Katil di sini.

Mohd Ali berkata sebagai anak jati Kampung Bukit Katil, beliau resah melihat pembangunan di kawasan Parlimen itu agak ketinggalan berbanding kawasan lain di negeri ini akibat tiada usaha daripada pembangkang memajukan kawasan tersebut.

Katanya ketika menjadi Ketua Menteri dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Baru dalam Parlimen itu, beliau sentiasa memikirkan untuk membawa pelbagai pembangunan demi manfaat rakyat di kawasan itu.

"Apabila berhadapan situasi begini siapa yang rugi? Sudah tentu rakyat kerana rakyat tidak dapat menikmati kemudahan yang datang daripada pembangunan, pembangkang tidak rugi.

"Mengapa perlu pilih pembangkang pada PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang jika mereka tidak mampu membawa pembangunan diperlukan rakyat, pilih mereka yang mampu bawa kehidupan lebih baik kepada rakyat iaitu Barisan Nasional (BN)," katanya kepada Bernama.

Pada PRU13, Mohd Ali tewas kepada calon PKR iaitu Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan majoriti 5,447 undi dalam pertandingan kerusi Parlimen Bukit Katil.

Daftar pemilih diwartakan pada 20 Jan lepas menunjukkan Melaka mempunyai 474,341 pengundi dan daripada jumlah itu 109,296 pengundi Parlimen Bukit Katil iaitu pengundi teramai daripada keseluruhan enam kawasan Parlimen negeri ini, yang menjadi antara sebab ia dilihat sebagai 'medan tempur' utama PRU14 di sini.

Berdasarkan pemerhatian penulis yang tinggal di kawasan Bukit Katil sejak lebih tujuh tahun lepas dan menjadi pengundi kawasan tersebut, apa yang diperkatakan Mohd Ali itu ada kebenarannya kerana dilihat pembangunan di kawasan itu 'statik' sejak berakhir PRU13.

Antara pembangunan terakhir di kawasan itu ialah pembinaan Jalan Kiai Haji Hashim menghubungkan Bukit Katil ke Lebuh Ayer Keroh antara lain mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memudahkan perjalanan rakyat serta pelancong, sebuah projek kerajaan BN.

Mohd Ali berkata angin perubahan pengundi di Parlimen Bukit Katil semakin 'menyandar' kepada BN antara lain kerana pengundi tidak puas hati dengan kegagalan pembangkang membawa pembangunan dan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

Bagaimanapun beliau berkata BN tidak boleh sesekali mendabik dada dengan situasi itu, usaha berlipat ganda perlu diteruskan dalam usaha memastikan kawasan itu kembali kepada BN dan rakyat dapat menikmati kesenangan hasil daripadanya.

Katanya dalam usaha ke arah tersebut BN perlu mengkaji faktor yang menjadi penyebab kekalahan parti di Parlimen Bukit Katil dalam usaha mengukuhkan BN menjelang PRU14.

"Ia termasuk jumlah yang keluar mengundi, strategi kempen yang diguna, kekuatan jentera parti dan mengenal pasti penyokong BN selain kerjasama erat antara komponen BN," katanya.

Mohd Ali berkata pengundi muda juga perlu didekati dalam memahami isi hati dan keperluan mereka serta menangani isu ditimbulkan pembangkang sebelum isu tersebut mempengaruhi pengundi muda.

"Barisan muda dalam UMNO dan BN perlu peka dan bersiap sedia dalam menangani isu semasa, apa yang perlu ialah memastikan pengundi muda menyokong BN yang mampu membantu rakyat," katanya. - BERNAMA