KUALA LUMPUR, 27 FEB - "Kami sangat bimbang sekiranya projek pemaju terbengkalai, jika rumah tidak siap hancurlah harapan kami."

Ia antara luahan penduduk Flat Empat Tingkat, Kampung Kerinchi ketika cadangan projek pembangunan semula atas tapak mereka yang seluas 2.8 hektar itu berada di kemuncak pada tahun 2010.

Kini selepas lebih enam tahun, seramai 472 keluarga akhirnya menarik nafas lega apabila kediaman usang yang dihuni mereka sejak tahun 1971, bertukar wajah dengan apartmen moden 'Residensi Kerinchi' yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Berbanding dengan kediaman sebuah atau tiada bilik di Flat Empat Tingkat sebelum ini, Residensi Kerinchi menampilkan tiga bilik tidur dan dua bilik air bagi setiap unitnya yang berkeluasan 83.61 meter persegi.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Residensi Kerinchi, Ahmad Rahman, penantian selama lebih enam tahun itu berbaloi, meskipun pelbagai dugaan yang dialami oleh para penduduk sejak projek pembangunan itu diumumkan.

"Keadaan kami sangat teruk ketika mendiami flat berkenaan, selain masalah kebersihan seperti tikus dan sampah-sarap, ia juga merupakan lubuk penagih dadah suatu ketika dahulu.

"Namun kini, dengan bantuan kerajaan pusat dan syarikat pemaju, hasrat kami untuk memiliki rumah selesa akhirnya tercapai, " katanya kepada Bernama.

Warga emas Siti Rohani Idris, 67, berasa teruja dengan kediaman baharu yang jauh lebih baik daripada apa yang diimpikannya.

"Kami menerima kunci rumah baharu itu bulan lepas, apabila melangkah masuk sahaja ke Residensi Kerinchi, saya sekeluarga sangat gembira kerana kemudahannya seolah-olah kediaman kondominium mewah.

"Selain ada sekuriti dan padang mini permainan, mereka juga turut menyediakan kolam renang.

"Oleh kerana pihak pemaju tidak menggalakkan kami menyidai baju di ampaian, kami turut diberi sebuah mesin basuh 2 dalam 1 yang dilengkapi dengan fungsi pengering bagi setiap unit rumah," katanya.

Katanya, pelan pembangunan pemaju mempunyai skim yang membantu mereka sebelum berpindah ke rumah baharu, antaranya elaun pindah keluar ke rumah transit di PPR Kerinchi sebanyak RM5,000 dan pindah masuk ke Residensi Kerinchi sebanyak RM8,000.

"Selain itu, pihak pemaju turut memberi bantuan kepada penduduk yang mempunyai anak-anak yang bakal masuk ke alam persekolahan dan mengangkut barang untuk berpindah hatta kenduri-kendara, sepanjang kami mendiami rumah transit selama enam tahun," katanya.

Pengarah syarikat pemaju Suez Domain Sdn Bhd., Datuk Yasran Hussain berkata, walaupun projek pembangunan ini mengalami sedikit kelewatan, namun penduduk berpuas hati dengan apa yang ditawarkan oleh pihaknya.

"Sepatutnya kediaman ini siap pada Mac 2016. Jadi setiap keluarga dibayar RM1,250 sebulan untuk tempoh lapan bulan projek lewat. Kami tidak menukarkan nilai itu dengan hal lain, tetapi kami berikan secara tunai kepada mereka setiap bulan," katanya.

Katanya, projek membangunkan Residensi Kerinchi begitu dekat dengan hatinya kerana ia bukan hanya sekadar mengaut keuntungan, malah turut menaik taraf kehidupan kaum Bumiputera di tengah-tengah kawasan elit itu.

"Ketika sesi penyerahan kunci pada Januari lalu, ramai warga emas yang menangis terharu melihat kediaman baharu mereka yang telah siap, dan turut mengenangkan ada dalam kalangan anggota keluarga yang tidak sempat merasai rumah baharu itu.

"Ada dalam kalangan mereka terlalu teruja sehingga mula berpindah dengan serta merta selepas mendapat kunci dengan menanggung kos pemindahan sendiri, meskipun kami telah menetapkan jadual pemindahan dan kos ditanggung secara percuma," katanya.

Kerinchi Residensi, yang menempatkan 472 unit apartmen dibangunkan di kawasan lebih 2.8 hektar di atas tapak bekas kawasan rumah pangsa empat tingkat di Kampung Kerinchi.

Projek bernilai kira-kira RM600 juta itu yang setiap satunya berkeluasan 83.61 meter persegi, bernilai antara RM350,000 dan RM400,000 seunit. - BERNAMA