GERIK, 22 FEB – Polis meminta mana-mana pihak yang kehilangan anggota keluarga tampil membantu siasatan polis berhubung penemuan mayat seorang wanita reput di sini 6 Feb lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik DSP Mohd Sohaimi Ishak berkata wanita itu yang tidak mempunyai identiti dianggar berumur 10 hingga 17 tahun, mempunyai ketinggian 147 sentimeter, berambut ikal paras bahu serta gigi di hadapan sumbing di sebelah kiri.

Katanya mayat wanita yang telah reput dan berulat itu ditemukan seorang pemotong rumput warga Bangladesh di kawasan semak di Kilometer 24 Jalan Gerik-Kupang berhampiran hentian rehat Bintang Hijau, Sungai Rui kira-kira pukul 12 tengah hari.

“Hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan pukulan objek tumpul di bahagian dada, kepala dan kaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Sohaimi berkata identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan polis sedang mengesan identiti sebenar mangsa termasuk menerusi laporan orang hilang di kawasan berhampiran.

Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mashezreen Jamsari di talian 05-7912222.
- BERNAMA