KUALA LUMPUR - Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 akan mencapai kejayaan dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.

Berucap pada Himpunan 355 yang dihadiri puluhan ribuan peserta di sini sabtu lalu, beliau menegaskan bahawa tiada sebab orang bukan Islam membantah pindaan akta itu kerana ia tidak menyentuh hak mereka.

Beliau menarik perhatian bahawa Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa Mahkamah Syariah hanya menyentuh orang Islam sahaja.

"(Namun) Kita mesti ada Mahkamah Syariah yang tinggi tarafnya. Atas kewajipan ini kita perlu tunaikan tanggungjawab (dalam melakukan pindaan itu)," katanya.

Menurut Abdul Hadi, kegagalan sistem undang-undang yang dicipta manusia menjadi antara punca kepada berlakunya kejadian jenayah.

Himpunan 355 adalah bagi memberi penerangan kepada umat Islam mengenai cadangan pindaan terhadap akta berkenaan.

Antara lain, cadangan pindaan itu membabitkan usaha mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan orang Islam sahaja dan langsung tidak memberi kesan kepada golongan bukan Islam.

Pada 24 Nov tahun lepas, Abdul Hadi membawa usul Rang Undang-undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman berkata perhimpunan yang bermula sejak 2 petang tadi itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Seramai 2,000 pegawai dan anggota yang terdiri dari pelbagai unit dalam PDRM terlibat dalam penugasan kawalan keselamatan bagi perhimpunan aman itu.

Antara yang hadir dan berucap pada himpunan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, wakil-wakil persatuan bukan Islam dan tokoh-tokoh pendakwah. - BERNAMA