PUTRAJAYA, 15 FEB – Seramai 46,461 atau 23.9 peratus calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun lepas mencatat keputusan 8A.

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada sidang media bagi mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.

Beliau berkata kejayaan itu merupakan peningkatan sebanyak empat peratus berbanding tahun sebelumnya serta mengekalkan kelulusan 100 peratus bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2014.

Sebanyak 197,623 calon UPKK mengambil lapan mata pelajaran iaitu Amali Solat, Penghayatan Cara Hidup Islam, al-Qura,; Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah), Jawi dan Khat, Sirah, Adab (Akhlak Islamiah) dan Bahasa Arab.


“Daripada itu, Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam mencatatkan kadar lulus tertinggi iaitu 99.9 peratus, diikuti Bidang al-Quran dengan 99.6 peratus lulus.

“Pencapaian ini sekali gus menunjukkan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian,” kata beliau lagi.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Jamil Khir berkata mata pelajaran Jawi dan Khat mencatat kelulusan 94.23 peratus, diikuti al-Quran (91.83 peratus); Adab (90.48 peratus); Ulum Syariah (87.95 peratus) dan Sirah 83.61 peratus.

Jamil Khir berkata keputusan UPKK kini boleh disemak secara dalam talian di http://semakan.islam.gov.my atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS ) di MySMS 15888 bermula 11 pagi ini.

Pernyataan keputusan boleh diperoleh di sekolah masing-masing bermula 3 petang ini, katanya. – BERNAMA