SEREMBAN, 14 FEB - Seorang bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran sebuah daerah di negeri ini dan dua kontraktor direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan rasuah.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Seremban, Nor Anida Norhamdan di Mahkamah Khas di sini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan.

Ketiga-tiga mereka tiba di perkarangan mahkamah pada 10 pagi dengan berpakaian lokap menaiki kenderaan SPRM.

Semalam, SPRM menahan bekas YDP itu yang bergelar 'Datuk' kerana disyaki terlibat rasuah dan salah guna kuasa.

Turut ditahan dalam operasi yang dilancarkan SPRM itu ialah tiga kontraktor yang disyaki dianugerahkan beberapa projek melibatkan pejabat daerah dan majlis perbandaran yang suspek pernah bertugas.

Suspek berusia 63 tahun itu ditahan di kediamannya di Seremban, 11.30 pagi semalam. - BERNAMA