ALOR SETAR, 9 FEB - Seorang nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas didapati menggunakan pukat haram jenis rawa sorong ketika menangkap ikan di kawasan perairan berdekatan Pantai Yan, di Yan awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, nelayan itu yang juga pengusaha bot rawa sorong dikesan melakukan aktiviti tangkapan pada 5.20 pagi pada jarak 0.6 batu nautika barat Pantai Yan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran bot penguatkuasa, nelayan itu cuba melarikan diri dengan membawa bot ke kawasan cetek sebelum terjun ke dalam laut dan berenang ke pantai untuk melarikan diri.

"Pemeriksaan ke atas bot nelayan itu menemui pukat haram tersebut serta hasil tangkapan seberat tiga kilogram sebelum bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu ditunda ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Kamal berkata, penggunaan pukat jenis rawa sorong akan terus dibanteras kerana ia menjejaskan ekosistem hidupan laut dan hasil nelayan pantai.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa lesen yang sah.

Ahmad Kamal berkata sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Kuala Kedah di talian 04-7310579. - BERNAMA