KOTA BHARU, 3 FEB - Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes dua remaja lelaki berusia 19 tahun yang ditemui mati di dalam sebuah kereta di Kampung Panchor, Kemumin di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab Rahman Ismail berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa itu dipercayai berada bersama-sama dengan tiga lagi rakan mereka sebelum ditemui mati.

Katanya, berdasarkan maklumat ayah kepada seorang mangsa, polis menahan dua rakan mangsa, masing-masing berusia 19 tahun pada Selasa dan sedang mengesan seorang lagi berusia 20-an.

Sebelum kejadian, ayah mangsa itu ternampak kelibat rakan-rakan anaknya itu di kawasan berkenaan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, setakat ini, polis masih mengklasifikasikan kes terbabit sebagai mati mengejut dan kematian disebabkan strok haba atau kepanasan melampau dalam kenderaan, berdasarkan pengesahan pakar perubatan. - BERNAMA