KOTA KINABALU, 2 FEB - Kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam lagi mangsa tragedi bot karam di Sabah yang masih hilang yang masuk hari keenam hari ini kekal pada keluasan 3,900 batu nautika persegi seperti semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata keluasan kawasan carian berkenaan termasuk 750 batu nautika persegi di kawasan perairan Miri, Sarawak.

Adam dalam taklimatnya kepada pihak media di pusat operasi APMM di Likas hari ini berkata APMM menugaskan empat buah kapal, sebuah bot dan sebuah pesawat manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebuah pesawat.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula menugaskan sebuah pesawat, dua kapal dan dua buah bot, Pasukan Polis Marin pula menggerakkan empat buah bot manakala unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menugaskan dua buah pesawat.

Katanya negara Brunei Darussalam pula menugaskan sebuah kapal dan sebuah pesawat bagi melaksanakan SAR di kawasan perairan negara berkenaan.

Adam berkata operasi SAR berkenaan dilaksanakan 24 jam melibatkan aset-aset di permukaan laut manakala pesawat berlepas ke kawasan carian seawal 7.30 pagi tadi.

Mengenai permintaan pihak kedutaan China supaya agensi SAR membuat pencarian di dasar laut, beliau berkata ia boleh dilakukan apabila lokasi sebenar bot yang karam itu dapat dipastikan.

Katanya walaupun kenyataan saksi menyebut bahawa bot berkenaan karam pada kedudukan kira-kira lapan batu nautika daripada Pulau Mengalum, namun ada kemungkinan bot berkenaan telah dihanyutkan arus laut ke lokasi lain.

Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lalu itu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu.

Setakat ini 25 mangsa dijumpai, termasuk tiga yang maut .- BERNAMA