KUANTAN, 2 FEB - Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat sedikit pagi ini kepada 2,100 orang daripada 583 keluarga berbanding 2,096 orang daripada 582 keluarga, malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri, Zainal Yusoff berkata daerah Pekan merekodkan peningkatan mangsa daripada 1,481 orang (411 keluarga) kepada 1,485 orang (412 keluarga).

"Ia diikuti Maran orang 436 (123 keluarga), Kuantan 141 orang (38 keluarga) dan Bera 38 orang (10 keluarga).

Sebanyak, 35 pusat pemindahan sementara masih beroperasi iaitu 20 di Pekan, Maran (13) dan masing-masing satu di Bera dan Kuantan.

Di Johor jumlah mangsa banjir di tiga daerah berkurangan kepada 672 orang setakat 8 pagi ini berbanding 702 orang, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata 16 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Segamat, Muar dan Tangkak dengan menempatkan 185 keluarga.

Dalam kenyataanm di sini, katanya, Jalan Pogoh-Tekam di Segamat masih dibuka satu lorong untuk laluan kenderaan berat sahaja manakala jalan Kampung Sungai Pinggan di Pontian masih terputus hubungan akibat jambatan runtuh.

Di Perak jumlah mangsa banjir di negeri ini kekal seramai 270 orang setakat pukul 8.30 pagi ini, menurut info Portal Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebanyak empat pusat pemindahan sementara masih dibuka bagi menempatkan mangsa dengan jumlah mangsa paling ramai adalah di daerah Manjung iaitu seramai 208 di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai.

Di daerah Kinta, seramai 42 orang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Taman Bersatu Simpang Pulai manakala di daerah Larut Matang, jumlah mangsa masih kekal seramai 13 orang yang ditempatkan di Surau Padang Serai Dalam.

Bagi daerah Perak Tengah, seramai tujuh mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Belanja Kanan, Parit. - BERNAMA