MELAKA, 28 DIS - Apakah yang akan terjadi kepada keluarga sekiranya pencari nafkah tunggalnya meninggal dunia tanpa meninggalkan apa-apa untuk meneruskan kesinambungan hidup?

Inilah yang perlu difikirkan kira-kira 10 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang masih gagal meletakkan penama untuk simpanan mereka.

Perunding Takaful dan Insurans, Shaharim Sulong, 40, berkata setiap pencarum KWSP terutamanya pencari nafkah tunggal perlu melakukan penamaan terhadap simpanan mereka bagi mengelakkan anggota keluarga mereka berdepan masalah sekiranya mereka meninggal dunia.

"Apabila penyara nafkah tunggal meninggal dunia, bagaimana anggota keluarga lain meneruskan hidup jika tiada apa-apa ditinggalkan? Jika sudah lakukan penamaan, mudah untuk anggota keluarga mengeluarkan simpanan KWSP penyara itu sebagai sokongan untuk mengatur kembali kehidupan mereka," katanya kepada Bernama.

Dilaporkan sebelum ini hanya kira-kira empat juta pencarum daripada sekurang-kurangnya 14 juta pencarum di KWSP yang telah meletakkan penama untuk simpanan mereka.

Shaharim berkata terdapat juga kes perebutan simpanan KWSP dalam kalangan anggota keluarga apabila penamaan KWSP tidak dilakukan sehingga berlaku perpecahan dalam keluarga itu sendiri.

"Semua anggota keluarga ada bahagian masing-masing, apabila penamaan dibuat orang dinamakan itu akan diletakkan sebagai pentadbir simpanan KWSP itu yang mana orang itu akan mentadbir berdasarkan persefahaman bersama," katanya.

Bagi mekanik kenderaan berat Asrul Hafiz Zulkifli, 42, penamaan adalah perkara yang penting bagi memberikan keluarganya 'talian hayat' sekiranya apa-apa terjadi kepada dirinya kelak.

Bagaimanapun apa yang dirisaukan beliau ialah tahap kesedaran penamaan simpanan KWSP yang dilihat masih rendah terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendidikan rendah seperti dirinya.

"Orang seperti saya ada (kelulusan) sijil sahaja selalunya buat kerja berat dan berisiko, jadi apa-apa isteri dan anak saya ada juga simpanan KWSP. Tetapi saya tanya kawan-kawan sekerja masih ramai belum buat penamaan KWSP. Saya selalu nasihatkan mereka beringat dulu sekarang dengan buat penamaan," katanya.

Sehubungan itu, Asrul Hafiz memohon pihak KWSP supaya mempergiat pelbagai kempen kesedaran kepada seluruh rakyat terutamanya mereka yang berpendidikan rendah supaya lebih ramai pencarum KWSP melakukan penamaan.

Suri rumah Sarimah Ismail, 39, berkata apabila kehilangan pencari nafkah tunggal dalam keluarga, penamaan KWSP akan membolehkan keluarga mengatur semula punca pendapatan mereka dengan lebih cepat.

"Dengan penamaan ini simpanan KWSP akan diperolehi dengan lebih cepat, apabila perolehi wang simpanan itu dengan cepat senang kita nak rangka untuk buat pelaburan bagi dapatkan keuntungan, buat perniagaan atau bekerja semula bagi menggantikan pendapatan pencari nafkah tunggal," katanya.

Beliau yang juga bekas pensyarah, bagaimanapun berkata simpanan KWSP tidak sepatutnya dijadikan sokongan tunggal, pencari nafkah tunggal perlu mengatur mekanisma lain seperti insurans bagi memastikan anggota keluarganya mampu meneruskan kesinambungan hidup apabila dia tiada kelak. - BERNAMA